PETRA JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan Sarawak bakal menerima RM1.5 bilion sebagai bayaran interim sementara rundingan mengenai pemberian khas kepada negeri itu diteruskan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia, selain mengambil kira kedudukan serta kemampuan kewangan negara.
“Saya ulangi keyakinan Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengurus serta mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap dan sebaiknya, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Tambah beliau, rundingan berkaitan pemberian khas itu akan terus dilaksanakan sambil menegaskan bahawa perkara yang masih belum selesai boleh dibincangkan dan diselesaikan melalui rundingan yang baik.
“Itu rahsia persahabatan dan rundingan yang baik. Tidak ada masalah tidak boleh dielakkan dan diselesaikan.
“Semangat rundingan dan kerjasama itu penting bagi memastikan perkara yang masih belum selesai dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Untuk rekod, isu pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah merupakan antara perkara yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pemberian khas kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Pemberian tersebut sepatutnya tertakluk kepada semakan setiap lima tahun, namun bayaran berkenaan tidak dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa dekad lalu.
Bayaran pertama kepada Sarawak dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta sebelum digandakan kepada RM8 juta pada 1966, manakala pada 1969, jumlah berkenaan meningkat kepada RM16 juta.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum ini turut mendedahkan bahawa pemberian khas tersebut dihentikan selepas 1969.
Beliau mendedahkan perkara itu dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ pada 16 September 2023 ketika menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah tidak menerima pemberian khas tahunan seperti yang diperuntukkan.
Pemberian khas itu mula dinaikkan secara interim oleh Kerajaan Persekutuan pada 2023 apabila Anwar mengumumkan RM300 juta masing-masing kepada Sarawak dan Sabah, sebelum kadar itu dinaikkan kepada RM600 juta mulai 2025 dan kini RM1.5 bilion bagi Sarawak sebagai bayaran interim.
Oleh Masrin Affirah





