Sibu Sentral sasar perkukuh Sibu sebagai hab perdagangan dan pengangkutan kawasan Tengah Sarawak

Facebook
WhatsApp
SIBU SENTRAL....Sasar perkukuh Sibu sebagai hab perdagangan dan pengangkutan kawasan Tengah Sarawak.

SIBU, 21 November: Pembangunan Sibu Sentral bakal memperkenalkan konsep lot kedai komersial berhakmilik strata pertama di Sibu, sekali gus menawarkan pendekatan baharu dalam pemilikan dan pelaburan hartanah komersial di bandar ini.

Pembangunan berkenaan memperkenalkan konsep lot kedai komersial berhakmilik strata pertama di Sibu, dengan setiap tingkat mempunyai hakmilik berasingan.

Pengarah Urusan Musyati Development Sdn Bhd, John Lee Chin Seng berkata, Sibu Sentral dirancang bukan sekadar sebagai terminal bas, sebaliknya sebuah hab komersial bersepadu yang mampu meningkatkan keterhubungan pengangkutan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Kami beriltizam untuk menjadikan pembangunan ini berbeza bagi Sibu.

“Sibu Sentral bukan sekadar terminal bas. Ia adalah hab komersial bersepadu yang akan menambah baik pengangkutan bagi penduduk Sibu dan mengukuhkan keterhubungan merentasi bandar dan rantau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sibu Sentral merupakan pembangunan bercampur bersepadu seluas 3.82 hektar di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang merangkumi terminal bas moden dua tingkat, ruang perniagaan, enam blok lot kedai tiga tingkat serta hotel sembilan tingkat dikenali sebagai Otel Express.

Projek itu turut menyediakan 18 petak bas ekspres, masing-masing sembilan berbumbung dan sembilan terbuka, termasuk satu petak untuk perkhidmatan bas tempatan.

Bagi memastikan kelancaran trafik, laluan khas bas ekspres akan diasingkan daripada laluan pengunjung kawasan komersial, selain penyediaan tiga akses masuk ke kawasan pembangunan.

Sementara itu, lot kedai komersial berhakmilik strata berkenaan menawarkan fleksibiliti kepada pembeli kerana setiap tingkat boleh dimiliki, dijual, disewakan atau dicagarkan secara berasingan selepas hakmilik dikeluarkan.

SIDANG MEDIA…..Lee (tengah) merakam kenangan selepas sidang media hari ini.

Pembangunan yang direka oleh Ayung Architect dengan kerjasama PD Atelier Sdn Bhd itu turut menekankan ciri mesra orang kurang upaya (OKU), termasuk penyediaan dua lif penumpang bagi setiap fasa, lima tangga bersama serta dua jambatan penghubung di tingkat satu.

Pereka projek, Steven Yap Chin Ho berkata, reka bentuk pembangunan itu mengintegrasikan terminal bas dengan kawasan komersial bagi memastikan pergerakan penumpang dan pengunjung lebih mudah serta inklusif.

“Reka bentuk ini menyatukan terminal bas dan bangunan komersial supaya penumpang dan pembeli dapat bergerak dalam persekitaran yang inklusif dan tanpa tangga,” katanya.

Sehubungan itu, Musyati Development akan melancarkan jualan Fasa 1 Peringkat 1 projek berkenaan pada 10.00 pagi esok di pejabat galeri tapak Sibu Sentral, Lot 1818, Lorong Sentosa Utara 1A, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

Peringkat pertama itu membabitkan 72 lot kedai komersial tiga tingkat dengan keseluruhan 108 unit.

Pelancaran jualan itu menyusuli pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Sibu Sentral Sdn Bhd yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam.

Projek berkenaan dijangka memperkukuh kedudukan Sibu sebagai hab pengangkutan, perdagangan dan perkhidmatan serantau di Sarawak Tengah, selaras dengan aspirasi menjadikan Sibu sebuah bandar raya.

Orang ramai dan pembeli yang berminat dijemput menghadiri pelancaran tersebut, dengan pakej istimewa turut ditawarkan kepada pembeli awal.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pasukan jualan menerusi talian 011-5588 5656.

Oleh Akun Giman