SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: Calon muka baharu, Mohamad Shafizan Kepli berharap mendapat sokongan padu dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Batang Lupar.
Mohamad Shafizan,37, menggantikan penyandang kerusi Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim yang tidak bertanding.
“Itulah harapan saya supaya mendapat sokongan masyarakat dari DUN Sebuyau, DUN Lingga dan DUN Beting Maro bagi menghantar suara yang lebih kuat di peringkat Parlimen.
“Saya akan terus berpegang kepada pucuk kepemimpinan untuk mendapatkan restu dan keizinan bagi apa sahaja yang akan dilaksanakan oleh saya nanti.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah mencalonkan saya untuk bertanding di P201 Batang Lupar.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Dato Sri Rohani atas pembangunan dibawanya dan saya akan terus melihat apa pembangunan yang boleh saya teruskan di Batang Lupar,” katanya.
Mohamad Shafizan adalah bekas Penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah, yang berkhidmat lama di kampung halamannya.
Bapa kepada empat anak dari Kampung Tengah, Pusa ini bukan asing kepada penduduk setempat, kerana ibunya Saftuyah Sain juga adalah ahli politik veteran di kawasan berkenaan.
Lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) itu aktif dalam politik dan aktiviti kemasyarakatan, sehingga diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB N29 Beting Maro, Ahli Majlis Tertinggi Pemuda PBB Negeri dan Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya GPS N29 Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Pencalonan Shafizan Kepli menepati hasrat Premier Sarawak untuk memberi peluang kepada golongan muda bertanding pada PRU-15 nanti.
Pada PRU lalu, Rohani meraih 14,204 undi menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) , Wan Abdillah Wan Ahmad yang sekadar meraih 3,927 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH) Narudin Mentali hanya mendapat 2,020 undi.