MIRI: Seorang lelaki maut selepas tersepit di bawah sebuah jentolak dalam kejadian di Long Seridan, Marudi, petang semalam.
Mangsa yang berusia 40, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Seridan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.08 petang.
Bagaimanapun, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi hanya tiba di lokasi pada 9.49 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 261 kilometer (km).

“Perjalanan mengambil masa yang panjang berikutan faktor geografi serta keadaan jalan balak yang licin dan berlubang.
“Pasukan turut perlu menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan darat kira-kira empat kilometer ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu hari ini.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa masih tersepit di bawah jentolak berkenaan.
Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat, termasuk Peralatan Menyelamat Berkuasa Hidraulik dan dua unit beg udara, bagi mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun, usaha awal untuk mengeluarkan mangsa berdepan kesukaran kerana kedudukannya yang tersangkut di bawah jentolak.
Operasi kemudiannya diteruskan dengan bantuan Polis Bantuan dan seorang mekanik daripada sebuah syarikat.
Mekanik berkenaan memotong rantai roda jentolak menggunakan pemotong gas oksigen bagi memudahkan proses mengeluarkan mangsa.
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Polis Bantuan untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada 11.22 malam.
Oleh Liong Chai Ling




