Setiap kontinjen Sukma dihadkan 45 wakil pada majlis perasmian

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili.

KUALA LUMPUR: Setiap kontinjen negeri yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) kali ini hanya dibenarkan menghantar 45 wakil ke majlis perasmian, termasuk gabungan atlet Sukma dan Para Sukma.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Ketua Kontinjen (CDM), dengan penyertaan pada majlis berkenaan turut mengambil kira jadual pertandingan atlet.

Beliau berkata, jumlah 45 wakil itu melibatkan keseluruhan wakil bagi setiap kontinjen dan bukan khusus kepada atlet Sukma sahaja kerana atlet Para Sukma turut akan disertakan dalam majlis berkenaan.

“45 wakil sahaja, dicampur Sukma dengan Para Sukma. Kita akan lihat atlet yang mungkin mempunyai acara atau sukan yang berlangsung pada masa itu dan kita akan pilih yang lapang.

“Kita juga dapat makluman kita akan bawa atlet Para, jadi sekali lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan kontinjen Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menurut Mu’azamir, raptai majlis perasmian turut diadakan, namun penyertaan atlet dijangka tidak melibatkan keseluruhan 45 wakil kerana hanya beberapa pegawai diperlukan bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pembawa bendera dan ketua kontinjen yang akan mewakili Sarawak pada majlis itu masih belum diputuskan.

“Belum diputuskan lagi. Sebab kita tengok atlet-atlet yang mungkin kalau ada sukan yang berlangsung, kita akan keluarkan mereka. Mana yang lapang sahaja,” katanya.

Majlis perasmian Sukma dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijangka menyempurnakan majlis berdasarkan jemputan yang diterima.

Sementara itu, Mu’azamir berkata, prestasi awal atlet Sarawak pada temasya kali ini membanggakan walaupun terdapat beberapa keputusan yang tidak memihak kepada kontinjen berkenaan di peringkat kumpulan.

Katanya, semangat juang yang ditunjukkan atlet amat penting memandangkan perjalanan pertandingan masih di peringkat awal.

“Saya menggesa semua masyarakat dan rakyat Sarawak supaya terus memberikan sokongan dan berdoa agar atlet-atlet kita terus berjuang demi mengangkat nama Sarawak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pasukan polo air wanita Sarawak berjaya mencatat kemenangan ke atas Pulau Pinang, manakala pasukan bola tampar pantai turut menunjukkan persembahan memberangsangkan ketika berdepan pasukan tuan rumah.

Dalam pada itu, Mu’azamir berkata, keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini turut diberi perhatian bagi memastikan kesihatan atlet tidak terjejas.

Katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengeluarkan peringatan kepada semua kontinjen supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan atlet kekal terhidrat.

“Kita menyediakan minuman tambahan termasuk minuman tenaga untuk memastikan mereka sentiasa cergas. Saya juga menggesa semua atlet supaya banyak minum air dan menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Cristiano Ronaldo kahwini Georgina Rodriguez

PARIS, Perancis: Cristiano Ronaldo dan pasangan jangka panjangnya, Georgina Rodriguez, melangsungkan perkahwinan pada Selasa dalam satu majlis di pusat peranginan