PETRA JAYA: Mangsa banjir di Sarawak akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dalam masa terdekat.
Seramai 4,966 KIR dikenal pasti sebagai penerima bantuan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), memaklumkan bahawa bantuan ini akan disalurkan melalui Pejabat Residen Daerah di seluruh negeri.
“Kita akan memastikan bantuan ini sampai dengan segera kerana peruntukan telah diterima.
“Namun, senarai penerima masih dalam proses pengesahan,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Uggah mengingatkan bahawa bantuan ini adalah untuk KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Peruntukan sebanyak RM2.8 juta telahpun disalurkan kepada Kerajaan Sarawak bagi tujuan pengagihan bantuan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah memaklumkan bahawa penilaian kerosakan akibat banjir akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet negeri yang akan datang.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meminta saya membentangkan laporan ini dalam mesyuarat kabinet.
“Selepas itu, kita akan mengusulkan perkara ini kepada Pejabat Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi mendapatkan gambaran penuh mengenai kerosakan yang berlaku,” jelasnya.
Antara kerosakan yang dinilai termasuk infrastruktur seperti sekolah, klinik, rumah, hospital serta jalan raya yang terjejas akibat bencana tersebut.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Sri Nancy Shukri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Buckland Bangik.
Oleh Amanda L.