KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan secara rasmi untuk menyertai kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Datuk Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata
GPS menerimanya kerana patuh kepada titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar bersama membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Ya kami akur (dengan nasihat Agong), maksudnya kami (GPS) menyertai kerajaan perpaduan.
“Kita taat kepada raja berpelembagaan dan dalam Rukun Negara jelas menuntut kita taat kepada raja, walaupun kita di Sarawak tidak ada raja,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini petang ini.
Menjawab soalan, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata GPS menyerahkan soal lantikan kabinet persekutuan pada Perdana Menteri kesepuluh.
Beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada menerima panggilan telefon daripada Anwar atau Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adalah…. Saya tidak perlu beritahu anda (media),” katanya.
GPS yang mempunyai 23 Ahli Parlimen adalah gabungan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Oleeh Azreen Keria