Pengurusan berat badan perlu disokong amalan hidup sihat berterusan

Facebook
WhatsApp
DATUK Larry Sng Wei Shien bergambar bersama para peserta. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Pengurusan berat badan bukan sekadar usaha sementara, sebaliknya perlu disokong dengan pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal secara konsisten bagi mengekalkan tahap kesihatan.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan perlu diterjemahkan kepada amalan harian dan tidak terhenti selepas sesuatu program kesihatan berakhir.

“Saya berharap kesedaran dan semangat yang ditunjukkan semua peserta sepanjang program ini tidak terhenti setakat tamatnya program, sebaliknya terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Para peserta perlu terus menitikberatkan pengurusan berat badan dengan mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal secara berkala serta menjaga kesihatan dengan cara yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program ‘Jom Fit Jom Sihat’ Julau yang melabuhkan tirai di Dewan SK St Alphonsus, baru-baru ini.

Katanya, penjagaan kesihatan merupakan usaha berterusan yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian dan bukan hanya diberi perhatian ketika seseorang menyertai program berkaitan.

“Program ‘Jom Fit Jom Sihat’ bukan sahaja memberi ilmu dan pendedahan mengenai penjagaan kesihatan, malah menggalakkan masyarakat mengambil langkah lebih proaktif terhadap kesejahteraan diri.

“Justeru, ilmu serta kesedaran yang diperoleh menerusi program berkenaan diharap dapat mendorong peserta melakukan perubahan secara konsisten, khususnya dalam pemilihan makanan, kawalan berat badan dan aktiviti fizikal,” katanya.

Larry turut berharap program seumpama itu dapat terus menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran komuniti mengenai kepentingan gaya hidup aktif dan mendorong lebih ramai masyarakat membudayakan kehidupan sihat.

Oleh Earl Anek