
PUEBLA, Mexico: Sepanyol memperlihatkan sebab mereka dianggap antara calon utama untuk menjuarai Piala Dunia apabila menewaskan Peru 3-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir mereka pada Isnin menjelang sepak mula kejohanan itu.
Juara Eropah itu beraksi tanpa bintang Barcelona, Lamine Yamal, yang masih menjalani proses pemulihan kecederaan, namun mereka tetap terlalu ampuh buat Peru yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.
Yamal, 18, bersama-sama seorang lagi pemain sayap, Nico Williams, dijangka cergas untuk aksi pembukaan Sepanyol menentang pendatang baharu, Cape Verde, pada 15 Jun.
Skuad kendalian Luis de la Fuente membuka tirai jaringan seawal minit kedua di Puebla apabila penyerang Real Sociedad, Mikel Oyarzabal, melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menerjah penjuru atas gawang.
Pemain tengah Barcelona, Pedri, menggandakan kelebihan Sepanyol pada minit ke-32 sebelum gol sendiri penjaga gol Peru, Pedro Gallese, lapan minit selepas babak kedua bermula menjadikan kedudukan 3-0 apabila beliau tertampan hantaran lintang ke dalam gawang sendiri.
Jairo Velez kemudian menjaringkan gol sagu hati buat Peru pada minit ke-66 di hadapan 46,000 penonton. – AFP