KUALA LUMPUR, 14 November: Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan berikutan mata wang negara maju itu terus menerima sokongan kukuh susulan jangkaan kenaikan kadar faedah yang selanjutnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS dijangka mengekalkan kekuatannya dalam keadaan pendirian dasar monetari Fed yang berkecenderungan untuk menaikkan kadar faedah.
“Sentimen pelabur terus memihak kepada dolar AS di tengah-tengah jangkaan kenaikan kadar faedah yang ketara oleh Fed pada Disember.
“Penggiat pasaran juga akan memantau dengan teliti pengeluaran data jualan runcit AS bagi Oktober pada 17 November, dengan anggaran konsensus menunjukkan kenaikan 0.2 peratus bulan ke bulan daripada 0.8 peratus pada September,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran RM4.07 hingga RM4.10 berbanding dolar AS minggu depan.
Sementara itu, berdasarkan perbandingan Jumaat kepada Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0845/0890 daripada 4.0565/0610 pada minggu sebelumnya.
Unit tempatan itu diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain sepanjang minggu ini.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5549/5579 daripada 2.5616/5646 pada Jumaat, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4046/4106 daripada 5.4304/4365 dan naik berbanding euro kepada 4.5166/5216 daripada 4.5315/5365.
Ringgit juga kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0611/0833 daripada 12.0898/1105 pada akhir minggu lepas, naik berbanding peso Filipina kepada 6.41/6.42 daripada 6.43/6.44 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.3/224.6 daripada 224.2/224.6.
Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1729/1769 daripada 3.1657/1694 pada minggu sebelumnya. – Bernama





