
KUCHING: Senarai kursus yang bakal ditawarkan dalam program pendidikan percuma di universiti milik Sarawak akan diumumkan November depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, memaklumkan bahawa kebanyakan kursus yang disediakan adalah dalam bidang sains.
“Saya akan memberikan maklumat terperinci pada November. Buat masa ini, biar pelajar fokus pada pelajaran mereka dahulu.
“Saya akan umumkan senarai penuh kursus yang ditawarkan supaya semua pihak mendapat gambaran yang jelas.
“Secara umum, kursus yang disediakan berkaitan dengan sains, manakala bagi aliran seni, ia merangkumi bidang yang telah saya nyatakan sebentar tadi,” katanya dalam sidang media STEM Catalyst – Raspberry Pi 2025 yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran Sarawak Skills, hari ini.
Menurut Sagah, antara kursus dalam aliran seni yang akan ditawarkan termasuk kewangan, perakaunan, undang-undang dan psikologi.
Sagah turut menjelaskan bahawa permohonan untuk mengikuti kursus yang ditawarkan akan dibuka selepas November, tanpa sebarang had kuota.
Pengambilan pelajar pertama, jelasnya, dijadualkan bermula antara Februari hingga April tahun depan.
Oleh Amanda L.