LONG LAMA: Seramai 230 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ubong Imang menyertai Program Jiwa@Komuniti sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang berlangsung di Dewan SK Ubong Imang, semalam.
Program tersebut dianjurkan Pejabat Penerangan Daerah Telang Usan dengan kerjasama SK Ubong Imang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme, kecintaan kepada negara dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program tersebut antaranya, Sesi Sembang Santai yang disampaikan Pegawai Penerangan Daerah Telang Usan, Jua Daud.

Dalam sesi Sembang Santai tersebut, beliau berkongsi maklumat berkaitan panduan kibar Jalur Gemilang, inisiatif satu rumah satu Jalur Gemilang serta Akta Keselamatan dalam talian (PNSA).
Dalam pada itu turut dikongsikan beliau ialah kepentingan menghayati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 termasuk peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia serta kepentingan menghargai kepebagaian dan perpaduan sebagai asas keharmonian Negara.
Program turut diserikan Pertandingan Koir dan Pertandingan Payung Berhias yang melibatkan warga sekolah dalam suasana penuh semangat patriotik.

Selain itu pejabat Penerangan daerah Telang Usan turut mengedarkan bahan penerbitan dan hebahan maklumat melalui Info Bergerak (IOW) bagi meningkatkan akses masyarakat kepada maklumat berkaitan kenegaraan, inisiatif kerajaan dan isu semasa.
Sementara itu menurut Guru Besar SK Ubong Imang, Jacob George, program ini penting dalam memupuk semangat patriotisme, kecintaan kepada negara dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah serta masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa matlamat pihak sekolah adalah selari dengan Pejabat Penerangan Daerah Telang Usan khususnya dalam meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap sejarah negara, nilai kenegaraan dan kepentingan hidup dalam masyarakat yang bersatu padu.
Oleh Jiku Juguong





