PHNOM PENH: Kuching City FC terpaksa akur tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi sulung Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh, Kemboja, malam ini.
Penampilan sulung The Cats di pentas benua itu hampir berakhir dengan satu mata selepas Ajdin Mujagić menyamakan kedudukan pada minit ke-73, namun gol lewat Moses Dyer pada masa kecederaan memastikan tuan rumah mengutip tiga mata.
Phnom Penh Crown terlebih dahulu mengancam gawang Kuching City pada minit ke-12 menerusi percubaan Callum Timmins, namun penjaga gol The Cats, Haziq Nadzli, tangkas menepis percubaan berkenaan daripada menghasilkan gol pembukaan.
Kuching City turut mempunyai peluang untuk mendahului apabila Ronald Ngah Wanja melepaskan percubaan menarik pada minit ke-41, tetapi penjaga gol Phnom Penh Crown berjaya menyelamatkannya.
Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, mengatur percaturan awal dengan memasukkan Rodney Celvin bagi menggantikan Gabriel Peres.
Phnom Penh Crown terus mengasak dan sekali lagi hampir memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi sepakan leret kencang Timmins, namun Haziq Nadzli sekali lagi bertindak cemerlang menafikan peluang tersebut.
Tekanan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-55 apabila Moses Dyer menewaskan Haziq Nadzli menerusi hantaran Guytho Mijland untuk meletakkan Phnom Penh Crown di depan 1-0.
Kuching City kemudian melakukan dua pertukaran pada minit ke-60 dengan mengeluarkan Safawi Rasid dan Dylan Wenzel-Halls, masing-masing digantikan Ajdin Mujagić dan Ramadhan Saifullah.
Pada minit ke-65, Arif Farhan turut dimasukkan bagi menggantikan Filemon Anyie, manakala Phnom Penh Crown membawa masuk pemain No. 44 untuk menggantikan Riku Matsuda.
Usaha The Cats akhirnya berhasil pada minit ke-73 apabila Mujagić melepaskan sepakan leret yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah untuk mengikat kedudukan 1-1.
Kuching City membuat pertukaran terakhir pada minit ke-76 dengan memasukkan Ahmad Nawaf bagi menggantikan Ronald Ngah.
Namun, ketika perlawanan dijangka berakhir dengan keputusan seri, Phnom Penh Crown memperoleh dua sepakan sudut berturut-turut pada penghujung permainan.
Situasi itu dimanfaatkan tuan rumah apabila sepakan sudut pemain No. 16 ditanduk masuk oleh Moses Dyer pada minit ke-91 untuk gol keduanya dalam perlawanan, sekali gus memastikan Phnom Penh Crown menang 2-1.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City memulakan kempen Kumpulan H tanpa mata, manakala Phnom Penh Crown mengutip tiga mata.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, Kitchee SC dan Gangwon FC terikat tanpa jaringan, sekali gus menyaksikan Kuching City FC berada di tangga tercorot kumpulan selepas aksi pertama.
Kuching City dijadualkan menentang Kitchee SC kelab dari Hong Kong pada aksi kedua Kumpulan H pada 15 Oktober depan.
Oleh Afiq Sallehi




