KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian, berkata sokongan sektor swasta dan masyarakat umum dapat memainkan peranan penting dalam membantu sekolah memenuhi keperluan mereka.
Beliau berkata demikian selepas bersama ‘This Fashion Watch House’ menyerahkan 43 jam dinding kepada SMK Sungai Tapang susulan permohonan daripada pihak sekolah.
Menurut Kong, walaupun jam dinding mungkin kelihatan sebagai sumbangan kecil, barangan berkenaan mempunyai fungsi penting, khususnya ketika peperiksaan bertulis.
“Jam yang jelas kelihatan di dalam dewan peperiksaan membolehkan pelajar mengurus masa dengan lebih baik serta merancang pembahagian masa sepanjang menjawab kertas peperiksaan,” katanya.
Kong turut merakamkan penghargaan kepada ‘This Fashion Watch House’ kerana tampil membantu pihak sekolah dan menyumbang kepada keperluan pelajar.
“Sekolah kita mempunyai pelbagai keperluan dan tidak semua keperluan dapat dipenuhi serta-merta hanya melalui peruntukan kerajaan. Di sinilah sokongan sektor swasta dan masyarakat umum boleh memberi perubahan yang bermakna,” katanya.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat menggalakkan lebih ramai individu, perniagaan dan syarikat tampil menyokong sistem pendidikan melalui sumbangan kewangan, peralatan atau bentuk bantuan lain.
“Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, boleh membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya.
Kong menegaskan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan kerajaan, sekolah, ibu bapa, sektor perniagaan dan masyarakat.
“Apabila kita bekerjasama, pelajar kita yang akhirnya mendapat manfaat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru dan pentadbiran SMK Sungai Tapang atas usaha berterusan mereka dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang terbaik untuk para pelajar.
Oleh Connie Chieng





