
LAWAS: Kepelbagaian perayaan yang disambut sepanjang tahun di Sarawak oleh rakyat berbilang kaum dan agama merupakan pengukuh perpaduan seluruh rakyat Sarawak.
Penglibatan berbagai kaum berbeza latar belakang dan agama dalam perayaan satu-satu kaum, melambangkan persaudaraan seluruh masyarakat di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyeru agar semangat perpaduan, toleransi antara kaum terus diperkukuhkan untuk menjadikan Sarawak terus makmur.
“Budaya bagi kita di Sarawak ini apabila kita menyambut Aidilfitri, Krismas, Gawai Dayak, Tahun Baharu Cina, ia seolah-olah perayaan semua kaum.
“idilfitri tahun ini di Lawas, seperti biasa mereka yang datang dengan tarian singanya, dan hari ini kita saksikan tarian Orang Ulu dari suku kaum Orang Ulu dari kawasan Baram, dan ada juga dari Belaga.
“Ini akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan toleransi.
Awang Tengah memberitahu demikian pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Melalui perpaduan, keharmonian, dan toleransi antara kaum dan agama, Awang Tengah yakin pembangunan di seluruh kawasan di Sarawak akan diperluaskan dengan lebih sempurna.
Melalui kesepakatan seluruh rakyat Sarawak, tekannya, kerajaan sedia ada akan dapat menggerakkan seluruh usaha ke arah meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Matlamat kita adalah untuk mengukuhkan keharmonian hidup masyarakat kita.
“Walaupun berbeza agama, budaya, bahasa, latar belakang, namun satu matlamat dan tujuan iaitu ke arah mengukuhkan perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat.
“Ini merupakan tonggak untuk menikmati kestabilan, keamanan, dan dengan itu kita dapat menumpukan ke arah usaha untuk menumpukan kepada usaha untuk pembangunan meningkat kesejahteraan hidup masyarakat kita,” tambahnya.
Hadir sama memeriahkan sambutan rumah terbuka Awang Tengah ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Digital Datuk Uggak anak Kumbong, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Oleh Adeng Edrus