
KUALA LUMPUR: Semakan terhadap kadar sumbangan kepada Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dijangka memberi manfaat kepada industri pembangunan hartanah Malaysia, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Dalam kenyataan hari ini, REHDA menjelaskan berdasarkan struktur yang disemak itu, berkuat kuasa 1 Mac, 2025, caj KWSMP kini dikategorikan mengikut lima peringkat harga, antara RM1,000 untuk projek dengan unit berharga RM80,000 dan ke bawah hingga 1.0 peratus daripada harga jualan bagi unit berharga RM500,000 dan ke atas.
Menurut REHDA pihaknya yakin langkah sedemikian penting dalam mengekalkan landskap hartanah yang positif supaya kemampuan untuk miliki hartanah tidak lagi menjadi isu bagi pembeli rumah.
Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang menyifatkan semakan itu sebagai langkah positif untuk semua pihak berkepentingan industri sekali gus menunjukkan tindak balas kerajaan terhadap kebimbangan pemaju dan pasaran hartanah secara keseluruhan.
Beliau berkata semakan turun kadar KWSMP itu adalah antara banyak perkara yang disokong oleh REHDA secara konsisten menerusi banyak sesi libat urus dengan kerajaan.
“Kami berharap pengurangan itu akan membolehkan pemaju menyalurkan penjimatan kepada pembeli rumah.
“Kami juga menggesa agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri mengkaji semula caj sumbangan lain yang menjejaskan industri supaya dapat memastikan perkara itu kekal adil dan mencerminkan keadaan pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan yang sama.
– Bernama