Chef wakili Kuching perlu jaga standard, reputasi bandar

Facebook
WhatsApp
DATO' Wee Hong Seng ketika menyampaikan amanat daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengingatkan para chef dan kumpulan kulinari yang mewakili Kuching ke luar Sarawak supaya sentiasa menjaga standard, profesionalisme dan reputasi bandar raya itu sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

KUCHING: Setiap chef atau kumpulan kulinari yang mewakili Kuching ke luar Sarawak perlu memberikan komitmen penuh bagi memastikan nama baik bandar itu sentiasa terpelihara.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tanggungjawab berkenaan bukan sekadar membawa hidangan tempatan, sebaliknya turut melibatkan aspek kebersihan, keselamatan makanan, persembahan, profesionalisme, tingkah laku dan komunikasi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, pada Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun Ketiga Empurau Rainforest Night di sini malam ini.

Menurutnya, pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO bukan hanya berkaitan makanan atau penganjuran acara gastronomi, tetapi turut merangkumi warisan, bahan tempatan, komuniti, kreativiti dan kelestarian.

“Kuching diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO dan pengiktirafan ini sesuatu yang harus kita banggakan, tetapi lebih penting, ia datang bersama tanggungjawab.

“Apabila seseorang chef, pasukan kulinari atau organisasi pergi ke luar Sarawak dan mewakili Kuching, mereka bukan hanya mewakili diri sendiri.

“Mereka membawa nama Kuching, imej Sarawak dan tanggungjawab yang hadir bersama pengiktirafan UNESCO,” katanya.

SATU Memorandum Persefahaman (MoU) telah rasmi dimeterai antara Persatuan Perminat Gourmet Kuching dan Chef Muluk bagi menerbitkan Sarawak Halal Recipe Book, bertujuan memartabatkan serta mendokumentasikan keunikan warisan kuliner dan resipi halal tradisi Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, persepsi pertama terhadap Kuching bagi individu yang belum pernah berkunjung ke bandar itu mungkin terbentuk hanya melalui seorang chef, satu hidangan atau satu acara.

Katanya, pengalaman positif mampu mengukuhkan nama Kuching, namun sebarang kecuaian atau kegagalan mengekalkan standard sewajarnya boleh menjejaskan reputasi bandar berkenaan.

“Dengan media sosial hari ini, maklumat bergerak dengan sangat pantas. Apa yang berlaku di satu tempat boleh dilihat di seluruh dunia dalam tempoh beberapa jam.

“Justeru, sesiapa yang menerima tanggungjawab mewakili Kuching perlu memahami bahawa ia bukan sekadar peluang untuk melancong atau menyertai sesuatu acara, tetapi tanggungjawab untuk menjaga nama baik bandar yang kita cintai,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim turut menyeru chef, kumpulan kulinari, persatuan dan rakan industri supaya terus meningkatkan standard, selain mengutamakan profesionalisme, disiplin dan menghormati budaya tempatan di negara atau bandar yang dikunjungi.

Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat di Sarawak merupakan kekuatan yang perlu diketengahkan kepada dunia melalui makanan, bahan tempatan, tradisi dan kisah komuniti.

“Apabila kita berada di luar Sarawak, kita tidak sepatutnya memikirkan persatuan mana yang kita sertai atau individu mana yang menerima perhatian.

CHEF Billy Lee antara salah seorang pemenang Top 25 Restaurant, yang mewakili restoran ‘Zozo Beans & Booze’, di majlis penganugerahan ‘Celebrate Hands Behind The Taste’ anjuran Persatuan Peminat Gourmet.

“Kita berada di sana sebagai satu pasukan yang mewakili Kuching dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menyediakan peluang kepada chef muda dan bakat akar umbi untuk mendapat pendedahan, selain bimbingan sewajarnya daripada chef berpengalaman.

Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan ilmu, kemahiran dan standard industri kulinari terus dipertingkatkan serta diwarisi oleh generasi akan datang.

Sementara itu, beliau berkata gastronomi Sarawak juga perlu mengambil kira aspek kelestarian, sumber bahan yang bertanggungjawab serta komuniti yang berkait rapat dengan warisan makanan tempatan.

“Apabila orang mendengar nama Kuching, kita mahu mereka mengaitkannya bukan sahaja dengan makanan yang enak, tetapi juga dengan kualiti, profesionalisme, keaslian dan hospitaliti,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.

Oleh Afiq Sallehi