MIRI: Lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, tiba di Hospital Miri pada 6.02 petang tadi.
Lima mangsa itu ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta jururawat, SN Debra Moset, 40, dan SN Jessie Paya Jok, 44.
Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan pihak kesihatan untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.30 petang.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa ditemukan ketika pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta Bomba dan Penyelamat Zon Miri (STORM) menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Menurut beliau, identiti kelima-lima mangsa dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mereka.
“Namun begitu, identiti mangsa secara rasmi akan disahkan melalui ujian sampel DNA,” katanya pada sidang media di sini petang tadi.
Oleh Liong Chai Ling





