Helikopter BO 105 S sudah 17 tahun digunakan bawa petugas KKM di Sarawak

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA....Pesuruhjaya Polis Sarawak DatukMohamad Zainal Abdullah pada sidang media berhubung tragedi helikopter 9M-LLF di Long Lellang, Baram yang terhempas dan terbakar petang semalam.

MIRI: Helikopter model BO 105 S (CBS 5) yang terhempas ketika menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, semalam merupakan pesawat keluaran 1991 buatan Jerman yang telah digunakan untuk membawa petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak sejak 2009.

Ini bermakna helikopter berkenaan telah digunakan untuk menyokong perkhidmatan kesihatan di negeri ini selama kira-kira 17 tahun, termasuk operasi ke kawasan pedalaman Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario.

Penggunaan pesawat itu menjadi antara sokongan penting bagi membolehkan petugas KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas, termasuk meneliti keadaan pesawat serta faktor teknikal yang mungkin menyumbang kepada kejadian.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati penyelenggaraan terakhir helikopter berkenaan dilakukan pada 24 Ogos sebelum pesawat itu dibenarkan meneruskan operasi penerbangan sehingga 100 jam penerbangan, tertakluk kepada ketetapan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.

HELIKOPTER model BO 105 S (CBS 5) digunakan untuk menjalankan misi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak.

“Pemeriksaan awal mendapati penyelenggaraan terakhir dilakukan pada 24 Ogos dan selepas penyelenggaraan, helikopter berkenaan dibenarkan beroperasi sehingga 100 jam penerbangan, tertakluk kepada ketetapan teknikal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Datuk Mohamad berkata, berdasarkan maklumat awal, helikopter berkenaan tidak dilengkapi kotak hitam atau perakam data penerbangan, menyebabkan penyiasat tidak dapat memperoleh data penerbangan daripada rakaman pesawat bagi membantu menentukan detik-detik terakhir sebelum nahas.

Beberapa saksi di lokasi turut dilaporkan melihat kepulan asap dan api keluar daripada helikopter sebelum ia terhempas.

Bagaimanapun, keadaan itu masih belum dapat disahkan sebagai punca nahas dan siasatan teknikal lanjut perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Dalam kejadian itu, helikopter terbabit membawa seorang juruterbang dan empat petugas KKM yang sedang menjalankan misi FDS di kawasan berkenaan.

Kesemua lima mangsa disahkan terkorban selepas helikopter terbabit terhempas dan terbakar di lokasi kejadian.

Oleh Liong Chai Ling