SEBAUH, 7 November: Pengusaha pertanian di Sarawak perlu mengubah pendekatan daripada pertanian sara diri kepada model perniagaan komersial bagi meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan lebih tinggi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perubahan minda itu penting bagi memastikan setiap aktiviti pertanian mampu memberikan pulangan ekonomi setimpal dengan usaha dan tenaga yang dicurahkan.
Menurutnya, pembangunan sektor pertanian perlu disokong oleh rantaian bekalan yang lengkap, merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan produk berkualiti serta pemasaran.
“Pertanian tidak lagi boleh dilihat sekadar aktiviti sara diri, sebaliknya perlu diusahakan sebagai satu perniagaan yang mampu menjana pendapatan.
“Setiap usaha dan tenaga yang dicurahkan perlu diterjemahkan kepada pulangan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Sebauh di Rumah Bare Langgi, Sungai Nangka, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sektor pertanian turut berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja, justeru pengusaha perlu meneroka tanaman alternatif seperti kelapa bagi mempelbagaikan pengeluaran dan meningkatkan potensi pendapatan.
Katanya, pendekatan itu perlu disokong dengan pengukuhan rantaian bekalan bagi memastikan hasil pertanian berkualiti dapat dipasarkan secara lebih sistematik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pelaksanaan Jualan Rahmah turut membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat menerusi penawaran barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Beliau berkata, dua bakul barangan yang dibelinya menerusi program berkenaan hanya berharga kira-kira RM200, berbanding anggaran RM500 sekiranya dibeli di pasar.
Menurutnya, kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan pendidikan dan pampasan kepada golongan yang terjejas akibat bencana bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.
Oleh Carolyne Utih




