Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • SejaTI MADANI: i-Sun dryer ubah hidup komuniti Kampung Kuala Bibangi
  • RENCANA

SejaTI MADANI: i-Sun dryer ubah hidup komuniti Kampung Kuala Bibangi

Utusan Sarawak 3 weeks ago
AHLI komuniti Persatuan Penduduk Kampung Kuala Bibang Mohamad Nawir menunjukkan ikan masin yang dikeringkan menggunakan teknologi pengeringan rumah haba pintar dikenali sebagai i-Sun dryer ketika ditemui di Kampung Kuala Bibang. Foto BERNAMA

KAMPUNG Kuala Bibang, Semporna sebuah perkampungan pertanian dan nelayan di sini menjadi contoh terbaik kejayaan transformasi luar bandar menerusi penggunaan teknologi moden.

Berbekalkan dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bernilai RM100,000, penduduk Kampung Kuala Bibang berjaya menghasilkan produk ikan masin berkualiti tinggi dengan kapasiti pengeluaran setengah tan sehari, naik lima kali ganda berbanding kaedah tradisional menerusi projek teknologi pengeringan rumah haba pintar yang dikenali sebagai i-Sun dryer.

Ahli komuniti Persatuan Penduduk Kampung Kuala Bibang Mohamad Nawir berkata peningkatan pengeluaran ikan masin itu berjaya menambah pendapatan ahli komuniti di kampung yang berkeluasan kira-kira 15 hektar itu.

“Saya bersama ahli komuniti lain termasuk keluarga mengusahakan ikan masin sejak 10 tahun lepas. Sebelum ini kami menggunakan kaedah pengeringan ikan masin secara tradisional iaitu menjemur secara terbuka di bawah pancaran matahari dan ia mengambil masa sehingga tiga hari.

“Menerusi kaedah tradisional ini kami boleh menghasilkan 100 kilogram ikan masin dalam tempoh seminggu tetapi bergantung kepada cuaca. Proses pengeringan cara konvensional ini perlu kerap dipantau kerana dikhuatiri lalat hinggap atau haiwan yang datang merosakkan ikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

IDEA CETUS DARI FACEBOOK

Mohamad berkata idea untuk menggunakan i-Sun dryer tercetus beberapa tahun lepas ketika sedang melayari Facebook dan melihat perkongsian seorang pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengenai penggunaan serta kelebihan teknologi berkenaan.

“Ketika itu saya tertarik dengan teknologi berkenaan dan telah menghubungi pihak UiTM terlibat. Setelah beberapa perbincangan dijalankan, pihak berkenaan bersetuju untuk membina i-Sun dryer di kampung ini, tetapi pembinaannya memerlukan kos besar RM50,000,” katanya.

RUMAH haba pintar dikenali sebagai i-Sun dryer berjaya dibina di kampung Kuala Bibang mampu mengeringkan 250 kilogram ikan masin dalam masa tiga jam, dengan proses pengeringan dapat dijalankan tiga kali sehari, sekali gus membolehkan pengeluaran mencecah setengah tan dalam sehari. Foto BERNAMA

Mohamad berkata Program SejaTi MADANI membuka lembaran baharu buat komuniti Kampung Kuala Bibang apabila mereka berjaya menggunakan peluang itu untuk merealisasikan cita-cita membangunkan teknologi pengeringan moden di kampung berkenaan.

Beliau berkata dua rumah haba pintar berjaya dibina di kampung itu, masing-masing mampu mengeringkan 250 kilogram ikan masin dalam masa tiga jam, dengan proses pengeringan dapat dijalankan tiga kali sehari, sekali gus membolehkan pengeluaran mencecah setengah tan dalam sehari.

“Teknologi i-Sun dryer ini menjimatkan masa pengeringan dengan suhu boleh mencecah sehingga 60 darjah Celsius selain produk ikan masin yang terhasil lebih berkualiti, proses pengeringan ikan lebih sekata dan bersih,” katanya.

PENDAPATAN KOMUNITI MENINGKAT

Mohamad berkata sejak penggunaan i-Sun dryer, pendapatan komuniti meningkat sehingga 65 peratus daripada hanya RM1,800 sebulan kepada mencecah RM17,000 bergantung kepada permintaan selain penggunaannya tidak hanya terhad kepada ikan masin.

PENGUSAHA ikan masin Hasdiana Mohd Dachsan menyiang ikan untuk dijadikan ikan masin menggunakan teknologi pengeringan rumah haba pintar dikenali sebagai i-Sun dryer. Foto BERNAMA

“Sebelum ini kami membekalkan ikan kering di sekitar Semporna dan Tawau kerana stok yang terhad tetapi dengan proses pengeringan yang cepat ini, stok ikan masin yang banyak memudahkan untuk masuk ke pasaran Kundasang, Ranau dan Kota Kinabalu. Ini menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata rumah haba pintar itu juga boleh mengeringkan pelbagai jenis produk antaranya mi dan keropok ikan termasuk cendawan, sekali gus menjadi hasrat ahli komuniti untuk mengembangkan lagi perusahaan antaranya keropok ikan dan cendawan.

MOHAMAD Nawir (kanan) menjemur ikan yang telah disiang ke dalam rumah haba pintar dikenali sebagai i-Sun dryer ketika ditemui di Kampung Kuala Bibang. Foto BERNAMA

“Hal ini boleh menjana pendapatan pihak komuniti dan membuka peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Kita juga mampu menyahut seruan kerajaan dalam membasmi kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Hasdiana Mohd Dachsan, 43, dan Asmierah Mohd, 32, berkata projek ini bukan sekadar inisiatif komuniti, sebaliknya ia menjadi titik perubahan dalam memperbaiki kehidupan dan ekonomi keluarga mereka.

BERI PELUANG JANA PENDAPATAN

Muhammad Nadir Abdul Muin, 19, pelajar tingkatan enam di sebuah sekolah di sini berkata projek yang dilaksanakan Persatuan Penduduk Kampung Kuala Bibang itu memberi peluang kepadanya menjana pendapatan dengan mengambil upah membersih dan membungkus ikan masin ketika cuti sekolah.

Beliau berkata pendapatan itu membolehkannya menabung sebagai persediaan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

PROSES pengeringan Ikan masin hanya mengambil masa tiga jam menggunakan rumah haba pintar dikenali sebagai i-Sun dryer. Foto BERNAMA

SejaTi MADANI adalah inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dengan pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Pendekatan ini suatu anjakan bagi memperkasa rakyat akar umbi untuk memutuskan sendiri aktiviti ekonomi pilihan mereka dan kerajaan hanya bertindak memantau serta memberi galakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lepas turut memuji Kampung Kuala Bibang yang berjaya membangunkan teknologi pengeringan hasil laut menerusi SejaTi MADANI.

Teknologi berkenaan berjaya memendekkan masa memproses hasil laut kepada tiga jam berbanding tiga hari secara tradisional, sekali gus meningkatkan hasil penduduk kepada RM25,000 sebulan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Tidak lokek ilmu, Mak Rusmah Cookies bertahan lebih empat dekad
Next: Sana sini pistasio, apa istimewanya kacang ini?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.