Menala hati

Facebook
WhatsApp

KEHIDUPAN manusia boleh kita kaitkan sebagai persamaan dengan sebuah alat muzik. Setiap tindakan melahirkan kesan, setiap perkataan meninggalkan getaran dan setiap pilihan menyumbang kepada irama kehidupan.

Apabila semuanya berada pada tempat yang betul, lahirlah keharmonian. Apabila hati kehilangan pedoman, perkara yang kelihatan kecil boleh mengubah seluruh perjalanan hidup.

Penulis tertarik dengan Filem Tuner yang memberi gambaran menarik tentang seorang penala piano yang memiliki pendengaran luar biasa. Kehalusan pendengarannya membolehkannya mengenal nada yang tidak tepat.

Namun, kebolehan yang sama turut membuka jalan untuk memecahkan peti besi. Di sinilah kita melihat bahawa bakat pada dirinya tidak menentukan baik atau buruk. Arah penggunaan bakat itulah yang menentukan nilainya.

Begitu juga dengan ilmu, pengalaman, kekayaan, kuasa dan kedudukan. Semua itu ialah alat yang boleh digunakan untuk membina atau merosakkan. Orang berilmu boleh membimbing manusia, tetapi ilmu juga boleh digunakan untuk memperdaya.

Kekuasaan boleh melindungi mereka yang lemah, tetapi boleh berubah menjadi alat menindas. Kecekapan boleh memperkukuh organisasi, tetapi tanpa integriti, kecekapan hanya menjadikan kesalahan dilakukan dengan lebih tersusun.

Sebab itulah hati perlu diberi perhatian. Hati menentukan tujuan sebelum tangan bertindak. Hati membentuk niat sebelum mulut berkata-kata. Dari hati lahir rasa syukur, amanah dan kasih, dari hati juga boleh muncul kesombongan, iri hati dan ketamakan.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila segumpal daging dalam tubuh itu baik, baiklah seluruh tubuh dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Segumpal daging itu ialah hati.

Menala hati bermaksud memeriksa semula niat, membetulkan arah dan mengembalikan diri kepada Allah SWT. Ia bukan tindakan sekali sahaja. Seperti piano yang perlu ditala dari semasa ke semasa, hati juga berubah kerana tekanan, pujian, kekecewaan dan godaan dunia.

Oleh itu, manusia yang bijaksana tidak hanya menjaga perkara yang dapat dilihat. Dia turut mendengar keadaan batinnya dan segera membetulkannya apabila nada kehidupan mula sumbang.

Mengenal Nada Yang Sumbang

Hati jarang berubah menjadi keras dalam satu malam. Perubahannya biasanya bermula melalui tanda kecil yang dibiarkan berulang. Kita mula sukar menerima nasihat, mudah tersinggung apabila ditegur dan berasa tidak senang melihat kejayaan orang lain.

Nikmat sendiri kelihatan kecil, sedangkan kelebihan orang lain sentiasa memenuhi fikiran. Inilah antara nada sumbang yang perlu didengar sebelum ia menguasai diri.

Ada masanya hati menjadi gelisah bukan kerana kekurangan, tetapi kerana tidak pernah berasa cukup. Seseorang mungkin memiliki kedudukan, harta dan penghormatan, namun tetap melihat kehidupan sebagai pertandingan yang mesti dimenanginya.

Dia mengejar pengiktirafan sehingga lupa bahawa harga diri seorang mukmin tidak bergantung pada pujian manusia. Apabila pujian menjadi makanan hati, teguran akan terasa seperti penghinaan.

Nada yang sumbang juga muncul apabila kita mula membenarkan perkara salah atas alasan yang kelihatan baik. Dalam filem Tuner, desakan untuk membantu seseorang yang disayangi membuka ruang kepada keputusan yang berbahaya.

Kehidupan sering menghadirkan keadaan seperti ini. Niat yang baik tidak secara automatik menjadikan semua jalan itu benar. Matlamat yang mulia tetap perlu dicapai melalui kaedah yang diredai Allah SWT.

Di sinilah integriti memainkan peranan. Sistem boleh menetapkan prosedur, kelulusan dan kawalan, tetapi manusia masih membuat pilihan ketika tiada siapa melihatnya. Sistem mengawal perbuatan dari luar, sedangkan integriti mengawal hati dari dalam.

Apabila kedua-duanya bergerak bersama, kecekapan dapat menghasilkan manfaat. Apabila integriti hilang, kelemahan dalam sistem akan dicari dan digunakan untuk kepentingan sendiri.

Dalam kepimpinan, kebolehan mendengar sangat penting. Pemimpin perlu mendengar bukan sahaja suara yang menyenangkan, tetapi juga maklum balas yang tidak selesa.

Laporan mungkin menunjukkan semuanya baik, sedangkan keresahan sebenar hanya dapat diketahui dengan turun padang. Seorang penala tidak memukul semua tuts (adalah bilah atau tombol pada papan nada seperti pada piano, organ) pada kekuatan yang sama, dia mendengar satu demi satu, mengenal puncanya dan membuat pelarasan dengan teliti. Begitulah pemimpin menyatukan manusia, sistem dan matlamat.

Kita juga perlu belajar mendengar diri sendiri. Selepas membuat keputusan, adakah hati semakin tenang atau semakin banyak alasan diperlukan untuk mempertahankannya?

Ketenteraman bukan satu-satunya ukuran kebenaran, tetapi kegelisahan yang berpanjangan patut mengajak kita bermuhasabah. Jangan menutup suara hati hanya kerana kesalahan itu memberikan keuntungan sementara.

Mengakui bahawa hati sedang sumbang bukan tanda kelemahan. Ia sebagai tanda permulaan kepada pembaikan. Orang yang merasakan dirinya sentiasa betul akan sukar berubah. Sebaliknya, orang yang berani menilai dirinya membuka ruang untuk menerima petunjuk, memperbaiki hubungan dan kembali melangkah di jalan yang benar.

Menala Hati Dengan Iman

Hati tidak dapat ditala hanya dengan kata-kata motivasi. Ia memerlukan hubungan yang hidup dengan Allah SWT. Iman memberikan ukuran yang lebih tinggi daripada keuntungan, populariti atau kemenangan sementara.

Ia mengajar kita bahawa setiap kelebihan ialah pinjaman dan setiap tindakan akan dipertanggungjawabkan. Kesedaran inilah yang membuat seseorang berhati-hati walaupun peluang untuk melakukan kesalahan terbuka luas.

Langkah pertama ialah membetulkan niat. Sebelum melakukan sesuatu, tanyakan: Untuk siapa perkara ini dilakukan? Apakah manfaatnya? Adakah caranya benar?

Soalan-soalan ini kelihatan mudah, tetapi mampu mendedahkan keinginan yang tersembunyi. Ada kebaikan yang dilakukan untuk dipuji. Ada perjuangan yang sebenarnya digerakkan oleh ego.

KAKITANGAN GM Klang membawa plastik hitam yang berisi sampah ketika Program Fun and Freshen Up 2.0 sempena Hari Cuci Malaysia dan Earth Warriors Day 2026 di sekitar Bandar Botanik Klang hari ini. Foto BERNAMA 

Ada ketegasan yang digunakan untuk menutup kemarahan. Niat yang diperiksa dengan jujur akan menyelamatkan amal daripada kehilangan makna.

Langkah kedua ialah membiasakan istighfar dan taubat. Istighfar bukan sekadar lafaz selepas melakukan kesalahan besar. Ia adalah pengakuan bahawa manusia sentiasa mempunyai kekurangan.

Dengan istighfar, hati yang keras mula dilembutkan. Taubat pula menuntut perubahan arah, meninggalkan kesalahan, memperbaiki kerosakan dan berusaha agar tidak mengulanginya. Inilah proses menala yang sebenar kerana ia menyentuh fikiran, perasaan dan perbuatan.

Langkah ketiga ialah memelihara rasa syukur. Syukur membantu kita melihat nikmat tanpa membandingkannya dengan milik orang lain. Ia tidak bermaksud berhenti berusaha, tetapi memastikan usaha tidak digerakkan oleh iri hati.

Orang yang bersyukur boleh meraikan kejayaan orang lain tanpa merasakan kedudukannya terancam. Dia memahami bahawa rezeki Allah SWT luas dan setiap manusia melalui perjalanan yang berbeza.

Langkah keempat ialah menerima teguran. Kadangkala Allah memperlihatkan kelemahan kita melalui nasihat orang lain. Cara penyampaiannya mungkin tidak sempurna, tetapi isinya masih boleh mengandungi kebenaran.

Ambillah yang bermanfaat dan tinggalkan nada yang menyakitkan. Hati yang matang tidak menyerahkan ketenangannya kepada sindiran, namun tidak pula menolak semua teguran kerana ego.

Langkah kelima ialah mendekatkan diri kepada al-Quran, solat dan zikir. Dunia menghasilkan terlalu banyak bunyi yang mengganggu. Tanpa ruang untuk diam bersama Allah SWT, hati mudah mengikut suara yang paling kuat.

Ibadah mengembalikan susunan keutamaan. Ia mengingatkan bahawa kita ialah hamba sebelum menjadi pemimpin, pekerja, tokoh atau pemilik harta.

Proses ini perlu dilakukan secara berterusan. Hati yang baik hari ini tetap perlu dijaga esok. Kejayaan membawa ujian baru, kegagalan membawa tekanan baru dan perubahan hidup membuka godaan yang berbeza. Menala hati ialah disiplin sepanjang hayat.

Menuju Harmoni Kehidupan

Apabila hati berada pada nada yang benar, seseorang tidak semestinya terlepas daripada ujian.

Namun, dia memiliki pedoman ketika berhadapan dengannya. Kejayaan tidak membuatnya lupa diri, kegagalan tidak menghancurkan harapan dan pujian tidak menentukan harga dirinya. Dia mengetahui bahawa semua keadaan hanyalah bahagian daripada perjalanan menuju Allah SWT.

Dalam organisasi, keharmonian terhasil apabila bakat setiap orang diletakkan pada tempat yang sesuai. Pemimpin tidak perlu memainkan semua peranan. Tugasnya ialah memahami kekuatan pasukan, membetulkan ketidakselarasan dan memastikan semua usaha menuju matlamat bersama.

Perancangan memberikan arah, pengorganisasian menyusun sumber, penempatan kakitangan menghidupkan fungsi, kepimpinan membina keyakinan, manakala kawalan dan pelaporan memastikan amanah tidak tersasar.

Namun, struktur yang baik tetap memerlukan manusia yang baik. Polisi tidak dapat menggantikan hati nurani. Anugerah dan pencapaian pula bukan alasan untuk berhenti menilai diri. Semakin tinggi kejayaan, semakin besar tanggungjawab untuk membuktikan bahawa kejayaan itu benar-benar memberi manfaat.

Pemimpin lama meninggalkan pengalaman dan landasan, pemimpin baharu perlu menjaga asas itu sambil berani mencipta pembaharuan yang sesuai dengan zamannya.

Warisan terbesar seorang pemimpin bukan bangunan, gelaran atau jumlah anugerah. Warisan terbesarnya ialah nilai yang terus diamalkan setelah dia pergi, budaya amanah, keberanian turun padang, kesediaan mendengar, disiplin merancang dan keikhlasan berkhidmat.

Seorang pemimpin boleh meninggalkan pentas, tetapi nada kepimpinannya masih hidup dalam tindakan mereka yang pernah dipimpinnya. Begitu juga kehidupan peribadi.

Pada akhirnya, manusia akan meninggalkan harta, kedudukan dan nama. Yang dibawa hanyalah iman dan amal. Oleh itu, jangan menunggu usia lanjut untuk memeriksa hati. Jangan menunggu kehilangan untuk belajar bersyukur. Jangan menunggu kesalahan menjadi kebiasaan sebelum kembali kepada Allah SWT.

Dengarlah hati ketika ia mula tidak puas. Periksalah niat ketika diri terlalu ingin dipuji. Berhentilah sebentar apabila kejayaan membuat kita merasakan diri lebih tinggi daripada orang lain. Talalah hati dengan iman, luruskan niat dengan kejujuran dan lembutkan jiwa dengan syukur.

Piano ditala supaya dapat menghasilkan lagu yang indah. Hati ditala supaya ilmu menjadi manfaat, kuasa menjadi amanah, kejayaan menjadi kesyukuran dan ujian menjadi jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kita mungkin tidak mampu menjadikan kehidupan sentiasa sempurna, tetapi kita masih boleh memilih nada yang hendak dimainkan.

Sebelum tirai kehidupan ditutup, pastikan hati tidak sekadar mengejar tepukan dunia. Biarlah ia kembali kepada Pencipta dalam keadaan tenang, bersih dan diredai. Itulah keharmonian yang sebenar dan pengakhiran yang paling kita harapkan.

Menala hati bukan untuk kelihatan baik di hadapan manusia. Menala hati adalah ikhtiar untuk tetap benar ketika hanya Allah SWT yang melihat.

Wallahu ‘alam Bissawab

Menyemai ukhuwah, memperkukuh perpaduan

PERPADUAN merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Malaysia dibina atas latar masyarakat yang berbeza dari sudut kaum, agama, bahasa dan

Hati Meniti

HATI ialah ruang paling dalam pada diri manusia. Wajah boleh tersenyum, tutur kata boleh kedengaran tenang dan langkah boleh kelihatan