Asrama sekolah jadi penempatan sementara calon SPM terjejas banjir

Facebook
WhatsApp
CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 beratur memasuki dewan peperiksaan bagi kertas peperiksaan bertulis di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu, hari ini. Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 23 November: Jabatan Pendidikan Kelantan mengenal pasti kekosongan asrama sekolah di seluruh negeri ini sebagai penempatan sementara bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya kediaman atau laluan ke pusat peperiksaan mereka terjejas akibat banjir.

Pengarahnya Siti Norina Muhamad berkata langkah itu merupakan antara persediaan awal pihaknya bagi memastikan calon yang terkesan banjir dapat meneruskan peperiksaan itu tanpa gangguan.

Beliau berkata sebanyak 14 pusat peperiksaan melibatkan 965 calon di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Machang, Tumpat dan Kuala Krai dikenal pasti berisiko banjir.

“Kita telah mengambil langkah alternatif dengan menyediakan pusat alternatif serta mengenal pasti semua kekosongan asrama sekolah di negeri ini sebagai penempatan sementara calon.

“Sekiranya berlaku banjir di mana-mana lokasi, calon akan segera dipindahkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu di sini, hari ini. 

Siti Norina berkata menerusi Pelan Kontingensi Bencana, pihaknya turut memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan berkaitan bagi memastikan akses calon ke pusat peperiksaan terjamin.

Katanya, antara agensi terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Daripada keseluruhan 14 pusat peperiksaan berisiko itu, Pasir Mas mencatat jumlah tertinggi dengan sembilan pusat melibatkan 681 calon, diikuti Machang (dua pusat, 156 calon), Tumpat (dua pusat, 116 calon) dan Kuala Krai (satu pusat, 12 calon),” katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 Nov ini berdasarkan analisis data hidrologi model ramalan banjir. – Bernama