KUCHING: Semua wakil rakyat komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 dan sentiasa turun padang bertemu rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah sebagai persediaan menghadapi PRN yang mana penggal akan berakhir tahun hadapan.
“Saya telah meminta wakil-wakil rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan komponen GPS untuk turun padang.
“Saya tidak tahu bila PRN tetapi semestinya semua orang perlu bersedia untuk menghadapinya dan membuat persediaan awal, bukannya saat-saat akhir.
“Ia sama juga seperti anda berlumba lari, latihan dan persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan pernafasan cukup bagus untuk memenangi perlumbaan,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden PBB berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Auditorium, Ibu Pejabat PBB, di sini, semalam.
“Kita cuma ada setahun sahaja lagi untuk PRN dan ia bukannya lama, pejam celik sahaja sudah setahun, maka kita perlu bersedia daripada awal,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan pemberita mengenai jika situasi wabak Covid-19 masih ada dan Malaysia dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adakah PRN masih dapat dijalankan atau ditangguhkan, Abang Johari berkata, ia hanya dapat ditangguhkan jika terdapat kecemasan.
“Tetapi dalam keadaan biasa, PRN mesti dijalankan sebelum tamat penggal dan ia boleh berlangsung bila-bila masa dalam tempoh setahun ini.
“Dalam sesuatu keadaan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan boleh dijalankan, kita tidak boleh menangguhkan dan ia mesti dijalankan.
“Dengan situasi semasa kerana kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan dinasihatkan oleh SPR macam mana kita menjalankan pilihan raya dalam keadaan yang sedemikian,” ujarnya.
Mengulas mengenai soalan adakah PRN akan diadakan pada tahun ini, Abang Johari berkata, beliau tidak tahu kerana masih ada tempoh setahun untuk penggal ini berakhir namun pihaknya perlu bersedia dalam tempoh ini.
Turut hadir TimbaIan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta barisan Kabinet Negeri yang lain.
Oleh Zarina Abdullah