LIMBANG: Isu berhubung pencapaian internet di Daerah Limbang dan Lawas merupakan perkara yang paling hangat diperkata dalam laman-laman media sosial.
Malahan kisah tular seorang ayah yang berkorban menjadikan lori sebagai kelas bergerak, seorang pelajar pula sanggup menunggang motosikalnya meredah bukit berbatu, rosak dan berlubang setinggi dua kilometer untuk mencari capaian internet demi menyiapkan tugasan yang diberikan adalah sebahagian kecil kepayahan dalam mengakses kemudahan internet ini.
Golongan pelajar dan ibu bapa di Limbang ini terpaksa mencari capaian internet seawal pagi ke bukit berhampiran untuk memastikan tugasan dapat dihantar selain bimbang tercicir kelas dalam talian.
“Bukan rekaan semata mata, masalah (ketiadaan internet) dapat dilihat sendiri.
“Inilah usaha yang sudah dilakukan (naik bukit) meredah jalan berbatu, licin dan berlubang untuk mencari capaian internet,” kata seorang pelajar, Muhammad Adlan yang berkongsi kepayahan ketiadaan internet yang dimuatnaik melalui laman sosial Facebooknya baru-baru ini.
Menerusi ciapannya Muhammad Adlan yang merupakan pelajar sebuah institut latihan perindustrian Miri menambah sebagai pelajar di pedalaman tiada alasan untuk tidak belajar walapun berdepan masalah ketiadaan internet.
“Pagi pagi bangun awal untuk mencari capaian internet.
“Sebagai pelajar memang tidak dapat lari dari tanggungjawab bukan hanya baring dan duduk di rumah menunggu internet depan mata,lebih-lebih lagi untuk menyiapkan tugasan,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan kepayahan untuk mencari capaian internet terutama ketika cuaca hujan yang menyebabkan jalan berbatu di bukit terbabit licin dan merbahaya.
Katanya lagi pendedahan mengenai kepayahan mereka di pedalaman berikutan ketiadaan internet bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya mahu tindakan segera diambil mengatasi masalah itu.
Selain Muhammad Adlan, beberapa penduduk di kawasan Ulak turut mengambil inisiatif sama dengan naik ke bukit untuk menghubungi ahli keluarga mahupun mencari capaian internet bagi urusan seharian.
Sementara itu, keadaan serupa dialami penduduk di Daerah Lawas yang berdepan dugaan berat apabila capaian internet sukar dicapai bagi berbagai urusan atas talian.
Akses hanya dapat diperoleh dikawasan pusat bandar di Lawas.
Ini memaksa mereka di kawasan Trusan, Jalan Punang, Jalan Merapok termasuk skim kampung Banting yang kurang dua Kilometer daripada pusat bandar terpaksa pergi ke kawasan pasar untuk mendapatkan akses internet.
Sekarang banyak tawaran pemasangan alat untuk meningkat capaian internet ditawarkan premis menjual alatan telekomunikasi tetapi semuanya hanya menambah beban kewangan untuk perkhidmatan yang tidak seperti dipromosikan.
Sememangnya amat sukar untuk aktiviti mesyuarat melalui aplikasi ‘zoom meeting’ di luar kawasan Bandar Limbang mahupun Lawas.
Oleh ADENG EDRUS