SIBU: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan bakal menikmati lebih banyak peruntukan dari kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato Sri Wong Soon Koh berkata, beliau kini berada dalam kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan berhak menikmati semua keistimewaan sebagai seorang wakil kerajaan.
“Peruntukan RM2 juta geran projek kecil luar (MRP), RM5 juta Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), dan RM1 juta Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dengan kesemuanya berjumlah RM8 juta.
“Namun untuk tahun ini, saya akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin kerana sekarang sudah hampir penghujung tahun kewangan kerajaan.
“Tetapi, mulai tahun depan saya berhak mendapat jumlah penuh RM8 juta dan saya akan menggunakan jumlah ini untuk membantu anda semua sebanyak mungkin,” katanya berucap pada majlis penyerahan cek MRP berjumlah RM635,000 kepada 64 rumah panjang dalam kawasan DUN Bawang Assan di sini hari ini.
Wong yang juga Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) berkata, sebanyak 64 rumah panjang di kawasan DUN Bawang Assan telah menikmati kemudahan lampu jalan.
“Seperti yang kita semua tahu lampu jalan sangat penting di rumah panjang kita. Oleh itu, kumpulan pertama geran MRP adalah untuk pemasangan lampu jalan.
“Seorang kontraktor telah dilantik untuk melakukan kerja ini dengan harga termurah untuk kita semua.
“Lebih banyak geran MRP untuk anda akan datang pada tahun 2025 yang boleh digunakan untuk tujuan lain,” kata beliau.
Soon Koh sebelum mengetuai parti pembangkang, Parti Bersatu Sarawak (PSB) yang kemudian mesra GPS sebelum dibubarkan dan menyertai PDP, salah satu komponen dalam gabungan itu.
Oleh AKUN GIMAN