SIMUNJAN: Perebutan kerusi Parlimen Batang Sadong menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Gabungan Parti Sarawak(GPS) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi calon Parti Amanah Negara (AMANAH).
Calon muka baharu GPS-PBB, Rodiyah Sapiee dicabar Setiausaha Kerja Parti AMANAH Sarawak, Lahaji Lahiya yang merupakan seorang pesara guru.
Pegawai pengurus pilihan raya Parlimen Batang Sadong, Zainap Halip mengumumkan pengesahan kedua-dua calon itu jam 11.38 pagi tadi.
Rodiyah yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus, Pengurusan Risiko di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 2004, mengantikan tempat Dato Sri Nancy Shukri yang berpindah ke Parlimen Santubong.
Ditanya mengenai kempen yang akan dijalankan selepas ini, Rodiyah berkata, semua sudah dirancang bermula hari ini sehingga hari mengundi 19 November nanti nanti.
“Kita akan membangun dan terus mememajukan kawasan Parlimen Batang Sadong dan banyak lagi pembangunan yang akan dilakukan dan akan diimumkan nanti,” katanya ketika ditemui sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Mesra Simunjan sebentar tadi.
Beliau berharap untuk meraih sokongan daripada penduduk di kawasan Parlimen Batang Sadong terutama pengundi muda agar dapat bekerjasama bagi membangunkan kawasan Parlimen tersebut.
Rodiyah memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraam Awam dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Beliau yang berasal dari Tanjung Harapan, Simunjan mempunyai ahli keluarga di Gedong dan Sadong Jaya serta mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan dan kejuruteraan serta aktif melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat.
Pada PRU 14 lalu, kerusi Parlimen Batang Sadong dimenangi Nancy atas tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan dua calon lain.