
SARIKEI: Kesedaran keselamatan jalan raya terus diperkasa apabila penganjuran program Sarawak Traffic Games – Sarikei 2025 membuka lembaran baharu dalam mendidik generasi muda menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menegaskan bahawa keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang remeh.
“Setiap langkah kita mendidik generasi muda tentang peraturan trafik, langkah keselamatan dan tanggungjawab sivik adalah satu langkah penting untuk mencegah kemalangan, melindungi nyawa dan mengukuhkan masyarakat.
“Melalui inisiatif seperti Sarawak Traffic Games, kita memupuk kesedaran ini sejak kecil, menyampaikan pengajaran bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi melalui pengalaman praktikal, kerja berpasukan, dan kepimpinan, sekali gus menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi cabaran sebenar jalan raya masa depan,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Stephen Wong Kie Yong di program Sarawak Traffic Games – Sarikei 2025, di Taman Lalulintas Sarikei, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Tambahnya, tahun ini juga menandakan detik penting apabila Shell Traffic Games secara rasmi dijenamakan semula sebagai Sarawak Traffic Games di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS).
“Ini menunjukkan komitmen Sarawak dalam memperkasakan dan melokalisasikan program pendidikan keselamatan jalan raya di seluruh negeri.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata.
“Hanya dengan kerjasama erat kita dapat mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat, berhemah dan bertanggungjawab untuk semua,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada lima buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Haji Matahir, SK Agama MIS Sarikei, SK St Anne, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Kwong dan SJKC Kwang Chien, serta lima buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, SMK St. Anthony, SMK Bandar Sarikei, SMK Tinggi Sarikei dan SMK Sungai Paoh kerana menyertai program tersebut.
“Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, lebih banyak sekolah akan menghantar wakil untuk menyertai Sarawak Traffic Games.
“Sama ada anda membawa pulang piala atau tidak, anda sudah menjadi pemenang kerana telah memilih untuk belajar, bertindak dan memimpin.
“Anda telah membuktikan bahawa anda bersedia membawa perubahan positif kepada dunia,” katanya.
Sementara itu, johan bagi kategori sekolah rendah dinobatkan kepada SJKC Su Kwong, manakala johan bagi sekolah menengah dimenangi oleh SMK St Anthony.
Oleh Earl Anek