RASMI…. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak
1443H/2022M di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
KUCHING: Sarawak bersetuju jika Kerajaan Pusat meminta bantuan kewangan untuk meneruskan projek di bawah bidang kuasa Persekutuan yang ada di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam hal ini mesti ada formula tertentu yang perlu dipatuhi.
Katanya, tawaran itu dibuat bagi mengelak projek yang terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
“Kalau kita (Kerajaan Sarawak) ada peruntukan dan Kerajaan Persekutuan minta tolong, kita akan tolong.
“Tapi, kita tidak beri percuma kepada mereka. Mesti ada formula yang perlu dipatuhi,” katanya selepas merasmikan Majlis Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak 1443H/2022M di sini, semalam.
Bagaimanapun, Abang Johari tidak menyatakan butiran tawaran itu. Namun, beliau membayangkan formula sama digunakan untuk projek pembinaan sebuah pusat kanser di negeri ini.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sebagai peruntukan pendahuluan untuk membina pusat kanser di negeri ini.
Abang Johari berkata, bagi penubuhan pusat kanser itu, Sarawak membiayainya dahulu tetapi Kerajaan Pusat perlu membayar balik.
“Hal ini kerana, di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai Pusat Kanser. Kalau adapun, ia terletak di Semenanjung Malaysia dan kos rawatannya amat mahal,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian berkata dalam tempoh setahun, Sarawak mencatat 5,000 kes kanser, iaitu 40 peratus daripada keseluruhan pesakit di Pusat Kanser Negara di Putrajaya.
Pekeliling Perbendaharaan berhubung Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam bertarikh 14 Julai lalu menyebut kementerian, jabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan hendaklah meneruskan proses praperolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah/tapak projek dan sebagainya.
Dalam pekeliling itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon berkata selaras dengan hasrat kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan bagi semua projek yang sedang dalam pelaksanaan, kementerian/jabatan/agensi hendaklah memantau secara rapi kemajuan projek agar ia siap dalam tempoh ditetapkan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak tidak akan melakukan sebarang pembatalan atau penangguhan projek yang dibiayai oleh Sarawak sendiri.
“Kerajaan negeri akan teruskan projek, bukan bermakna kita tidak berjimat, tetapi kita merasakan Sarawak ada kemampuan dan kesemua projek sudah dirangka sekali gus peruntukan telah tersedia,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Kerajaan Sarawak mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan, maka ekonomi Sarawak akan merundum.
Oleh NUR AIN OTSMAN