Najib pertimbang pilihan penuhi syarat pembayaran RM50 juta untuk tahanan rumah

Facebook
WhatsApp
SUASANA kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat pembayaran denda sebanyak RM50 juta yang dikenakan bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Peguambela dan Peguamcara bagi Najib, Tetuan Shafee & Co. dalam kenyataan hari ini memaklumkan keupayaan beliau untuk memenuhi syarat itu bergantung, sebahagiannya, pada perkara yang berada di luar kawalannya.

“Buat masa ini, sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guam kami masih tertakluk pada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan, dan pelupusannya tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau pada masa ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan pengampunan yang diperkenan ialah pengampunan bersyarat dan sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guamnya bergantung pada pematuhan syarat yang telah ditetapkan.

“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang. Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, firma guaman berkenaan memaklumkan Najib menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogratif pengampunan diraja untuk beliau dengan memperkenan pengampunan bersyarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Di bawah pengampunan bersyarat itu, Najib akan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk pada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

“Anak guam kami menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati. Anak guam kami turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau,” menurut kenyataan itu.

Najib juga merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), serta ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, kepimpinan dan ahli UMNO serta BN pada semua peringkat yang sentiasa berdiri teguh bersama-sama beliau.

Najib juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapa pun, tidak kiralah parti, ahli dan penyokong, mahupun orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.

“Anak guam kami sesungguhnya dan seikhlas hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai dan semua yang sentiasa mendoakan beliau, dan beliau memohon agar privasi keluarga beliau dihormati,” menurut firma guaman itu. – Bernama