PENGHARGAAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja pada Majlis Perasmian Asean-Australian Engineering Congress (AAEC2022) di TEGAS Digital Village, Kuching semalam. • Foto HARRIEY NAHA
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia menawarkan sokongan dari segi tempat dan sumber tenaga kepada Singapura jika negara itu mahu menubuhkan pusat data di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa, Singapura adalah sebuah negara yang kecil tetapi mempunyai perbandaran yang padat, kurang tempat dan tenaga berbanding Sarawak.
“Singapura dan Sarawak bagus, Singapura kekurangan tenaga dan tempat, anda (Singapura) ingin mempunyai pusat data, anda tidak mempunyai tempat anda datang ke Sarawak.
“Jika anda (Singapura) mahu mempunyai pusat data, anda boleh datang ke Sarawak, saya beri ruang kepada anda…kami mendapat tenaga (air, petroleum dan gas), sumber kami dari segi tenaga hidro di Bakun, kawasan itu mempunyai banyak air dan boleh menjadi sumber tenaga lain seperti solar terapung (tenaga suria),” katanya berucap pada Majlis Perasmian Asean-Australian engineering congress (AAEC2022) di TEGAS Digital Village di sini, semalam.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai banyak kuasa hidro dengan empat empangan besar yang mampu menghasilkan lebih banyak tenaga melalui tenaga hidrogen (ekonomi hijau) dan solar terapung.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak mempunyai tiga sumber tenaga dan amat mengalu-alukan jurutera untuk datang ke negeri ini dan memberi nilai kepada tenaga ini.
“Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk menambah nilai kepada sumber asli kita yang ada, misalnya untuk pengeluaran hidrogen kerana kita menyasarkan ke arah hidrogen dan ekonomi hijau.
“Pada masa ini kita juga mempunyai seorang pelabur melabur dalam kilang di Sarawak untuk penyerap karbon kerana Sarawak sedang memulakan strategi penangkapan dan penggunaan karbon (CCU) dan penyimpanan,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO