KUCHING: Kerajaan Sarawak menyambut baik langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan proses pameran cadangan persempadanan bagi 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, selepas cadangan berkenaan diluluskan DUN tahun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, proses itu sememangnya telah lama dinantikan kerajaan negeri selepas Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 diluluskan.
“Kita sudah tunggu lama. Ini kerana di peringkat DUN sendiri kita telah meluluskan cadangan 17 kerusi baharu, dengan latihan delegasi juga telah dilaksanakan.
“Alhamdulillah, sekarang SPR telah mengumumkan untuk membuat pameran mengenainya. Ini saya sangat alu-alukan dan saya mengucapkan terima kasih kepada SPR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kurma Gergasi Chef Challenge 2026 di The Hills, di sini, hari ini.
Cadangan berkenaan, jika dimuktamadkan, akan menyaksikan jumlah kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99.
Menurut Hasidah, kerajaan negeri berharap proses pameran dan semakan awam yang bermula esok dapat berjalan lancar sebelum cadangan berkenaan melalui proses seterusnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Notis cadangan persempadanan itu akan disiarkan dalam akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post, selain dipamerkan di lokasi terpilih di seluruh Sarawak untuk semakan awam.
Tempoh pameran berkenaan turut memberi ruang kepada pihak yang layak mengemukakan representasi, bantahan atau pandangan terhadap syor persempadanan yang dikemukakan SPR.
Proses berkenaan merupakan antara peringkat yang perlu dilalui sebelum laporan akhir persempadanan dikemukakan untuk tindakan selanjutnya di peringkat Persekutuan.
Kerajaan Sarawak sebelum ini meluluskan RUU berkenaan pada Sidang Khas DUN pada 7 Julai 2025, sekali gus membuka laluan kepada penambahan 17 kerusi baharu berikutan pertambahan penduduk dan keperluan perwakilan yang lebih seimbang.
Bagaimanapun, sama ada kesemua 17 kerusi baharu itu sempat digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bergantung kepada tempoh keseluruhan proses persempadanan yang dilaksanakan SPR.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata kerajaan negeri tidak mempunyai masalah sekiranya PRN akan datang masih menggunakan 82 kerusi sekiranya proses persempadanan 17 kerusi baharu itu belum dapat diselesaikan.
“Kami tidak ada masalah. Kalau 82, 82-lah. Kalau 99, 99-lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah Regency Specialist Hospital Kuching, baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara paling penting ialah proses persempadanan dilaksanakan mengikut peruntukan dan tempoh yang ditetapkan, manakala pelaksanaan pilihan raya perlu mengambil kira persediaan SPR.
Oleh Shahrul Qaizat




