
KUCHING: Kerjasama strategik antara Institut Komoditi dan Pertanian Malaysia (IMPAC), SD Guthrie, dan Sarawak Skills telah membawa kepada pelancaran program latihan profesional Pakar Penuaian, satu inisiatif percuma yang bertujuan meningkatkan penglibatan tenaga kerja tempatan dalam industri perladangan kelapa sawit.
Menurut jurucakap Sarawak Skills dalam satu kenyataan, projek perintis ini dirancang untuk memperkasa pekerja tempatan dengan kemahiran dan pengetahuan penuaian menggunakan teknik moden, di samping menangani keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir.
Katanya, program ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar dan separa bandar.
Menurut Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri pula, program ini merupakan satu langkah proaktif ke arah membina tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi.
“Inisiatif ini bukan sekadar latihan, ia tentang mentransformasi kehidupan dan komuniti.
“Melalui program ini, kami berhasrat meningkatkan penyertaan pekerja tempatan dalam industri kelapa sawit, melengkapkan mereka dengan teknologi penuaian moden, serta menyediakan peluang pekerjaan mampan dengan pendapatan yang kompetitif.
“Program ini menawarkan latihan percuma selama tiga bulan yang disertakan dengan pelbagai faedah menarik.
“Antara kemudahan yang disediakan ialah elaun bulanan sebanyak RM1,200, penginapan percuma sepanjang tempoh latihan, serta jaminan pekerjaan selepas tamat program.
“Program ini terbuka kepada warganegara lelaki Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang sihat tubuh badan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, jurucakap Sarawak Skills turut memaklumkan bahawa temu duga secara walk-in akan diadakan pada 13 Mei ini di Institut Latihan Vokasional Pertanian Sarawak (SAVTI), Jalan Kebuloh, Miri, dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Jelasnya, seramai 50 peserta akan dipilih, dibahagikan kepada dua kumpulan latihan, masing-masing terdiri daripada 25 orang.
Program ini, katanya lagi, merupakan peluang bernilai bagi individu yang ingin memperoleh kemahiran profesional, bantuan kewangan sepanjang latihan, dan akses kepada kerjaya yang menjanjikan dalam sektor pertanian.
Untuk maklumat lanjut, individu yang berminat boleh menghubungi Jenny di talian 013-806 3956, Sing (011-2516 9535), dan Victor (013-638 7295).
Maklumat lanjut juga boleh didapati melalui laman Facebook rasmi Sarawak Skills atau layari laman web sarawakskills.org.my.