SIBU: Kekurangan dari segi kemampuan keluarga tidak menghalang Dr Ricky Lawe untuk terus mengejar pendidikan sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Malah, pengalaman itu kini menjadi sumber inspirasi kepada 202 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau.
Berkongsi pengalaman hidupnya dalam Program Motivasi Kecemerlangan Peperiksaan bertajuk ‘Ke Arah SPM: Momentum 100 Peratus’, Dr Ricky mengingatkan pelajar bahawa kesusahan yang dilalui bukan alasan untuk mengalah dalam mengejar cita-cita.
Menurutnya, perjalanan menimba ilmu sejak zaman persekolahan penuh dengan cabaran, namun keazaman untuk mengubah kehidupan mendorongnya terus berusaha sehingga mencapai tahap pendidikan tertinggi.
Pengalaman itu dikongsikan bagi menyuntik keyakinan kepada pelajar supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan cabaran sebagai dorongan untuk mencapai kejayaan.

Dr Ricky, yang memiliki pensijilan Pemegang Sijil Sarjana Neuro-NLP Bertauliah dan Sijil Sarjana NLP Bertauliah., menggunakan pendekatan Neuro-Linguistik (NLP) dalam pengisian ceramahnya.
Menerusi teknik reframing, beliau membimbing pelajar mengubah perspektif terhadap cabaran pembelajaran kepada sudut pandang yang lebih positif, selain melihat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai peluang membuka laluan pendidikan dan membina masa depan.
Beliau turut menggunakan teknik ‘Swish Pattern’ bagi membantu pelajar menggantikan gambaran mental negatif dengan gambaran baharu yang lebih positif, manakala Future Pacing mengajak mereka membayangkan masa depan dan kejayaan yang ingin dicapai melalui usaha berterusan.
Pengisian program yang diselang-seli lagu menyentuh perasaan turut mewujudkan suasana penuh penghayatan sehingga sebahagian pelajar sebak ketika merenungkan harapan serta masa depan masing-masing.
Dr Ricky turut menekankan kepentingan pengurusan masa dan disiplin belajar sebagai persediaan menghadapi SPM 2026 yang bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 26 Oktober dan berakhir pada 17 Disember depan.
Pada program itu, beliau turut menyumbangkan alat tulis kepada pelajar yang kehilangan ibu atau bapa, termasuk anak yatim piatu, bagi membantu persediaan pembelajaran mereka.
Pelajar memberikan sambutan positif terhadap ceramah tersebut dan menyatakan komitmen untuk belajar bersungguh-sungguh serta memanfaatkan masa yang ada sebelum peperiksaan.
Sebagai tanda keprihatinan, Dr Ricky turut menyumbangkan alat tulis kepada pelajar yang kehilangan ibu atau bapa, termasuk anak yatim piatu, bagi membantu persediaan pembelajaran mereka.
Dr Ricky sering menerima undangan menyampaikan ceramah motivasi di Tatau/Sebauh, Selangau, Serian, Betong, Padawan dan Lawas.
Program di SMK Bau ini berjaya menyemarakkan semangat peserta, dengan harapan tekad yang dibina diterjemahkan kepada usaha konsisten dan pencapaian cemerlang dalam SPM.
Oleh Akun Giman





