Sarawak sasar jadi ‘Bavaria Malaysia’, perkukuh ekonomi negeri

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), malam ini. Foto Ukas

KUCHING, 17 Oktober: Sarawak menyasarkan untuk menjadi ‘Bavaria Malaysia’ menerusi pengukuhan sektor industri, inovasi teknologi dan penyertaan sektor swasta bagi meningkatkan daya saing ekonomi negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini berada dalam kelompok lima ekonomi negeri terbesar di Malaysia, namun pencapaian itu bukanlah had kepada aspirasi pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, Sarawak perlu terus memperkukuh asas ekonomi melalui pengurusan kewangan berhemat, pelaburan strategik dan pembangunan infrastruktur bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran MoU antara Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dengan Borneo Development Capital PLT (BDC) pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), malam ini. Foto Ukas

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Dewan Amity, Kompleks UNIFOR, malam ini.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri terus melabur dalam pembangunan jalan raya, jambatan dan kemudahan utiliti, selain memperkukuh sektor pelabuhan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong aktiviti ekonomi.

Dalam sektor tenaga, katanya, sumber tenaga boleh baharu yang dimiliki Sarawak meletakkan negeri ini pada kedudukan strategik untuk menjadi ‘Bateri ASEAN’, manakala pembangunan ekonomi hidrogen membuka peluang kepada Sarawak untuk menerajui sektor tenaga mampan di rantau ini.

SIMBOLIK…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-10 Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), malam ini. Foto Ukas

Beliau berkata, inisiatif strategik seperti pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, penubuhan AirBorneo, pelaburan dalam Affin Bank dan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan ekonomi serta daya tahan kewangan negeri.

Abang Johari yakin Sarawak mempunyai sumber, kestabilan politik dan komitmen bersama yang diperlukan untuk merealisasikan aspirasi menjadi wilayah maju, makmur dan berdaya saing pada peringkat global.

Oleh Norman B