KUCHING: Projek iSarawakCare, platform digital yang memudahkan akses kepada pengurusan, insentif, bantuan kebajikan dan perkhidmatan sosial menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Reka Bentuk London 2022.
Platform digital yang dihasilkan bersama oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU) dan SOCOE Sdn Bhd itu meraih anugerah bagi kategori Perkhidmatan Digital Kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata anugerah itu akan diterima pada majlis di London pada Selasa depan, 6 Disember ini.
Katanya, rekaan data bagi platfom itu telah dihakimi oleh tiga juri secara ketat setelah penyertaan diserahkan pada Julai lalu.
“la (iSarawakCare) adalah sebahagian daripada usaha kerajaan ke arah transformasi digital,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut Fatimah, antara pemenang anugerah yang lalu ialah IBM, Sony Pictures, Sydney Government Department of Justice, Vodafone dan Spotify.
“Sementara itu, aplikasi ‘MyWbest yang dibangunkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman telah menjuarai Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat KPWK dan mendapat tempat ketiga KIK peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia.
“Aplikasi ini dibangunkan bagi memantapkan pemantauan kemajuan Program Usahawan WellBest (UWB) secara digital.
“Seramai 1,269 UWB telah diberi bimbingan keusahawanan mulai 2021 sehingga 15 November 2022, yang merangkumi Program Pembangunan Minda, ‘Business Coaching’, Kursus Platinum serta pemantauan projek perniagaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 193 orang telah mencatat pendapatan melebihi Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM1,169 sebulan dan dengan itu tidak lagi memerlukan bantuan bulanan. kebajikan,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA