PADAWAN: Cita-cita untuk bergelar doktor yang disimpan Eudelia Then Suling, 15, kini menjadi kenangan yang cukup dekat dengan mendiang ibunya, Debra Moset, yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Selasa lalu.
Eudelia berkata, pada asalnya dia bercita-cita menjadi cef kerana gemar memasak, namun melihat ibunya membantu orang ramai membuatkan dia mahu mengikuti jejak langkah mendiang.
“Saya tengok mak saya banyak bantu orang. Jadi saya rasa saya nak juga jadi macam dia, saya nak bantu orang ramai.
“Saya memang suka sangat dengan sains dan pernah beritahu mak saya tentang minat itu. Kemudian dia mohonkan saya masuk sekolah sains,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Semadang.
Menurut Eudelia, ibunya seorang yang tegas dan sangat mementingkan kebersihan, namun pada masa sama penyayang serta tidak terlalu mengongkong anak-anak.
Antara pesanan yang paling diingatinya ialah supaya belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlalu gementar ketika menghadapi peperiksaan.

Lebih menyentuh hati, Eudelia berkata dia dan ibunya pernah merancang untuk bekerja bersama selepas dia menjadi doktor suatu hari nanti.
“Saya nak jadi doktor sebab saya terinspirasi daripada dia. Kami pernah merancang untuk bekerjasama dan berada di tempat kerja yang sama,” katanya.
Kenangan terakhir Eudelia bersama ibunya ialah pada 3 September lalu ketika mendiang pulang sebelum kembali bertugas di Miri.
Pada hari kejadian, Eudelia sempat menghantar pesanan kepada ibunya pada jam 2.29 petang untuk bertanya sama ada mendiang akan pulang sempena hari jadinya pada Januari depan, namun mesej itu tidak sempat dibalas.
“Saya chat dia seminit selepas dia terhempas, 3.27 petang. Tapi tidak sempat balas, cuma satu tanda.
“Pada mulanya saya menangis dan tidak percaya mak sudah tiada. Saya ingatkan dia masih hidup sebab ada orang kata dia sempat melompat,” katanya.
Bagi Eudelia, antara kenangan yang sukar dilupakan ialah masakan ibunya, terutama ayam kicap yang menjadi kegemarannya.

“Pada 3 September, saya pesan kepada mami, ‘Kakak nak makan ayam kicap’ sebab ayam kicap dia memang paling sedap. Dia terus buat.
“Itu memori yang paling susah dilupakan,” katanya.
Sementara itu, adiknya, Eugene Then Kuling, 12, merupakan antara anak yang sempat menghantar mendiang ke lapangan terbang pada 3 September lalu.
Eugene berkata tiada pesanan khusus disampaikan ibunya ketika mereka berpisah, sebaliknya mendiang hanya sempat melambai sebelum berangkat.
Kini, Eudelia mahu terus memegang pesanan ibunya untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai cita-citanya sebagai doktor, seperti yang pernah mereka impikan bersama.
Oleh Shikin Mahmud




