ACARA hibrid dijadikan contoh utama bagaimana sektor perniagaan di Sarawak diteruskan dengan menggunakan transformasi digital, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Kata beliau, untuk mencapai tujuan itu, Sarawak perlu memanfaatkan penyelidikan, kepakaran serta hubungan strategik dan ia dapat dilaksanakan dengan menerapkan digitalisasi sebagai strategi menuju transformasi digital.
“Acara hibrid juga dapat meningkatkan pengalaman dan keterlibatan acara yang memungkinkan jangkauan yang lebih luas dalam menyebarkan pengetahuan serta mewujudkan perkongsian serantau sambil menyokong usaha kerajaan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS),” katanya pada Majlis Meet in Malaysia @ Sarawak sekali gus melancarkan Kuching-Persatuan Bandar Hibrid di Imperial Hotel baru-baru ini.
Abang Johari menambah, dunia baharu masa kini menuntut masyarakat untuk menggunakan kaedah yang mampu meningkatkan produktiviti, kecekapan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif.
Disebabkan itu katanya, pengiktirafan Bandaraya Kuching sebagai bandar raya hibrid adalah perkembangan penting kepada Sarawak sekali gus menjadi salah satu bandar yang menyertai Hybrid City Alliance di dunia ini.
“Justeru itu saya gembira kerana sektor perniagaan di Sarawak telah mendigitalkan proses perniagaan masing-masing. Meskipun kita menekankan penggunaan digitalisasi, kita masih mengutamakan perbincangaan secara bersemuka kerana ia juga penting dalam sektor ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari menzahirkan penghargaan kepada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) kerana memulakan kerjasama tersebut serta kepada Acara Perniagaan Sarawak (BESarawak) kerana menjadikan bandar Kuching sebagai salah satu bandar hibrid.
Beliau yakin dengan meneruskan kolaborasi yang teliti antara industri negeri dan persekutuan, pemulihan dan transformasi Malaysia dalam sektor perniagaan mampu dipertingkatkan lagi di mata dunia.
“Dengan sempadan domestik terbuka dan tersedia, saya mengajak anda semua untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan anda seterusnya agar kami dapat menawarkan perkhidmatan terbaik yang ada di negeri ini,” katanya.