
LUNDU: Sarawak terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja dalam industri penerbangan menerusi program latihan aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata institusi itu memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan industri penerbangan tempatan dan antarabangsa.
“CENTEXS Lundu bukan sahaja menyediakan latihan teori tetapi juga kemahiran praktikal yang diperlukan dalam sektor aeroangkasa.
“Program yang ditawarkan melatih pelajar dalam bidang pemesinan, penyelenggaraan, serta kejuruteraan pesawat agar mereka bersedia menghadapi cabaran industri.
“Kita mahu memastikan tenaga kerja tempatan cukup berkemahiran supaya kebergantungan kepada tenaga kerja asing dapat dikurangkan,” katanya semasa berucap di lawatan rasmi ke Akademi Aeroangkasa, CENTEXS, di sini, hari ini.
Tambah beliau, program aeroangkasa di CENTEXS turut memberi manfaat kepada syarikat penerbangan tempatan, khususnya AirBorneo.
“Graduan dari akademi ini berperanan penting dalam penyelenggaraan dan pembaikan pesawat bagi memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan operasi penerbangan.
“Kerjasama antara CENTEXS, AirBorneo dan pemain industri lain amat diperlukan supaya latihan yang diberikan kekal relevan dengan perkembangan semasa.
“Kita perlu memastikan latihan yang ditawarkan memenuhi piawaian teknikal, operasi dan keselamatan industri penerbangan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk terus menyokong serta memperluaskan program latihan bagi memastikan tenaga kerja yang dilahirkan memenuhi piawaian industri.
“Saya gembira melihat semakin ramai anak Sarawak memilih bidang aeroangkasa sebagai kerjaya masa depan mereka, jumlah terkini pelajar ialah 98 orang, dan ada lagi 200 lebih orang dalam senarai menunggu.
“Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi latihan dan industri, Sarawak dijangka terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan dalam sektor aeroangkasa,” ujarnya.
Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, Ketua Kampus CENTEXS Lundu Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Akademik bagi Akademi Aeroangkasa, Digital & Tenaga Hijau Dr. Dyg Hanani Abg Ibrahim serta Pegawai Kementerian Pengangkutan (MOTS).
Oleh Masrin Affirah