SINGAPURA: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mempercepatkan peralihan kepada operasi Pelabuhan Hijau dan Pintar dalam usaha menjadi peneraju bagi kawasan rantau Asia Pasifik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kerajaan Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam membangunkan infrastruktur pelabuhan yang lebih lestari.
Katanya, inisiatif tersebut termasuk penghasilan bahan bakar hijau, mewujudkan hab pengisian bahan bakar hijau serta pelaksanaan koridor utiliti bersama bagi memastikan kemudahan pelabuhan yang lebih canggih dan mesra alam.
“Untuk menyokong usaha ke arah tenaga bersih, kami sedang membina kemudahan terminal gas dan merancang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
“Ini akan memenuhi keperluan pengangkutan moden yang lebih lestari, dengan fokus pada infrastruktur yang tahan lasak dan mesra alam.
“Selari dengan ekonomi berasaskan inovasi, Sarawak juga sedang melabur dalam sektor teknologi tinggi seperti avionik dan komponen pesawat serta menyediakan kursus aeroangkasa berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Berbeza’ pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024, yang diadakan di Raffles City Convention Centre, di sini hari ini .
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Abang Johari turut menekankan keperluan mendesak bagi kerjasama antara sektor-sektor global untuk merangka strategi inovatif dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Beliau juga menyatakan bahawa usaha Sarawak dalam memerangi perubahan iklim adalah sebahagian daripada gerakan global, dengan mengiktiraf pentingnya kerjasama antarabangsa.
“Sarawak terus memainkan peranan aktif dalam dialog global, berkongsi pengalaman dan pandangan.
“Kami membina kerjasama dengan pelbagai wilayah, negara dan organisasi untuk memajukan agenda kelestarian. Kerjasama ini penting dalam memastikan perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi, dan mobilisasi sumber yang diperlukan.
“Pembangunan hidrogen hijau kami adalah contoh bagaimana inisiatif tempatan boleh diangkat ke peringkat global melalui kerjasama strategik.
“Dalam ucapan saya baru-baru ini di Forum Hidrogen di PoznaĆ, Poland, serta Forum Perniagaan ASEAN di Sydney, Australia, saya menekankan kepentingan kerjasama global, dasar yang berkesan, dan inovasi tanpa henti untuk membina masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata inisiatif yang dirancang oleh kerajaan Sarawak ini dijangka dapat mempercepatkan transformasi ekonomi negeri, serta membina ekosistem pelabuhan yang lebih hijau dan lestari untuk masa depan.
Gambar
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024, yang diadakan di Raffles City Convention Centre, Singapura hari ini. Foto UKAS