BAU: Polis menahan dua lelaki berusia antara 28 hingga 38 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi di daerah ini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan sekitar 11.40 malam tadi di tepi Jalan Bau-Serikin berhampiran Stesen Jenayah Narkotik bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap dua suspek tersebut didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pihak polis memandang serius sebarang penglibatan dalam penyalahgunaan dadah dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Beliau turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada pihak berkuasa.
Maklumat boleh disalurkan menerusi talian Hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.




