BAU: Sarawak bakal menghasilkan makanan haiwan sendiri bagi mengawal harga bahan mentah seperti ayam, telur dan daging.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peningkatan harga ayam dan telur kebelakangan ini adalah kerana makanan haiwan yang di import menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) dan Ringgit Malaysia (RM) semakin lemah berbanding AS$.
“Logilah sekiranya makanan haiwan naik harga, sudah tentu haiwan pun naik harga. Kita beruntung kerana kita ada bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan iaitu daripada sisa kelapa sawit.
“Kita akan lakukannya (mengeluarkan makanan haiwan) dalam masa enam bulan. Oleh itu, kita tidak perlu lagi mengimport makanan haiwan sekali gus kita akan mampu mengawal harga ayam,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi Kampung Budaya Bidayuh, Gawai Bandi Persatuan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) dan sambutan ulang tahun ke-25 REDEEMS di sinj, malam ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kesatuan masyarakat di Sarawak menjadi sebab utama kemajuan teknologi yang dimiliki Sarawak pada ketika ini.
“Saya ingin kongsikan kepada anda semua, dua hari lalu, Pegawai Eksekutif Komanwel yang berpangkalan di London datang ke Kuching kerana mendengar bahawa Sarawak menghasilkan tenaga hijau termasuklah hidrogen.
“Saya ingatkan, orang London datang ke Kuching untuk belajar dengan orang Kuching, saya ingin kongsikan ini kerana ingin menunjukkan bahawa dunia melihat Sarawak.
“Kita mampu melakukan ini kerana kita bersatu-padu. Kalau tidak saya tidak akan ada masa untuk membaca buku mengkaji tentang teknologi kerana risau saya ditikam dari belakang kerana politik yang tidak menentu,”katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Foto UKAS