KUCHING: Penjelasan berkaitan isu kenaikan bil elektrik boleh dirujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Sesco Bhd (Sesco), Yusri Safri, bagi meneliti aduan berhubung peningkatan mendadak bil elektrik selepas pemasangan meter digital di kediaman sesetengah pelanggan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, beliau telah mengarahkan Sarawak Energy Bhd (Sarawak Energy) mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, selain meminta CEO Sesco menelitinya.
“Saya telah mengarahkan Sarawak Energy mengeluarkan kenyataan. Saya juga telah mengarahkan CEO Sesco untuk meneliti perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena IDECS26 di Menara Lembaga Pemegang Amanah dan Pembangunan Tanah (LCDA) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara berkenaan telah dibincangkan bersama Sarawak Energy dan Sesco, dengan Sesco dijangka memberikan penjelasan berhubung peningkatan bil yang dilaporkan pelanggan.
Julaihi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana penjelasan lanjut akan diberikan oleh pihak berkaitan.
“Sarawak Energy sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan, manakala Sesco kini diminta meneliti aduan dan memberikan penjelasan lanjut kepada pelanggan,” ujarnya.
Untuk rekod, beberapa pelanggan membuat hantaran di aplikasi Facebook dengan mengadu berlaku peningkatan mendadak bil elektrik selepas meter digital dipasang di kediaman masing-masing.
Sarawak Energy sebelum ini memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti 22 kes kebimbangan berkaitan bil elektrik yang dibangkitkan menerusi Facebook baru-baru ini.
Susulan perkara itu, Sarawak Energy turut membuka kaunter khas bagi membolehkan pelanggan mendapatkan penjelasan dan membuat semakan akaun, termasuk rekod bil dan bacaan meter.
Oleh Masrin Affirah




