SARIKEI: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus diperkasakan di kawasan Parlimen Tanjong Manis, khususnya di Kampung Stalon, Tanjung Manis.
Katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf jalan dalam kampung, sekali gus memastikan setiap rumah panjang dapat dihubungkan dengan jalan yang boleh dilalui oleh kenderaan.
“Apabila jalan dan jambatan ke Tanjung Manis siap sepenuhnya suatu hari nanti, kita akan menaik taraf semua jalan dalam kampung agar kenderaan dapat sampai terus ke rumah panjang masing-masing.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan asas dan keselesaan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Semalam, beliau telah menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat “Segulai Sejalai” bertempat di Dewan Stalon.
Yusuf turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang berusaha mendapatkan dana bagi membaik pulih dan menaik taraf jeti-jeti kecil di Kampung Stalon.
“Inisiatif ini bertujuan memudahkan pergerakan penduduk yang masih bergantung kepada pengangkutan air serta membantu nelayan tempatan mendaratkan hasil tangkapan mereka dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha pembangunan di Kampung Stalon berdepan cabaran besar disebabkan ketiadaan jalan penghubung ke kampung tersebut, menyebabkan sebarang projek pembangunan sukar dilaksanakan dan kos pengangkutan bahan binaan meningkat secara mendadak.
“Ketiadaan jalan penghubung ke Kampung Stalon menyebabkan kos logistik untuk membawa masuk bahan binaan sangat tinggi.
“Namun, kita tetap berusaha mencari jalan penyelesaian bagi memastikan projek pembangunan dapat dijayakan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Yusuf menyeru pemimpin setempat seperti penghulu, kaunselor, ketua kaum dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar memainkan peranan aktif dalam memastikan maklumat berkaitan perancangan kerajaan disampaikan dengan tepat kepada penduduk.
“Adalah penting bagi pemimpin setempat untuk menggunakan saluran rasmi seperti Pejabat Daerah, agensi kerajaan atau berhubung terus dengan wakil rakyat bagi menyuarakan keperluan penduduk.
“Jangan menggunakan media sosial untuk membangkitkan isu yang mungkin akan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau wakil rakyat di kawasan tersebut,” tegasnya.
Menjawab pertanyaan Utusan Sarawak berkenaan Sekolah Kebangsaan (SK) Stalon, katanya, walaupun masih boleh digunakan untuk proses pembelajaran dan pengajaran, beliau mengakui bahawa banyak kemudahan sekolah tersebut perlu dinaik taraf.
“Banyak kemudahan di SK Stalon yang perlu diperbaiki termasuk bangunan blok sekolah, jalan titian masuk ke sekolah, padang sekolah serta kerusi dan meja murid.
“Saya sentiasa berusaha membawa isu ini kepada kementerian berkaitan supaya ia mendapat perhatian sewajarnya,” tambahnya.
Pada program tersebut semalam, beliau turut menyampaikan sumbangan kemudahan meja dan kerusi kepada SK Stalon sebagai langkah awal bagi membantu meringankan keperluan asas pelajar dan guru.
Selain itu, beliau juga menyatakan sokongan penuh terhadap dasar pembangunan luar bandar yang dipelopori oleh kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Katanya, kerajaan Sarawak komited untuk memastikan rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang seimbang dan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negeri.
Oleh Earl Anek