KUCHING, 1 November: Kerajaan Sarawak sedang meneroka peluang kerjasama dengan Rusia dalam bidang pelancaran roket dan satelit, memandangkan kedudukan strategik negeri berkenaan yang berhampiran dengan garisan Khatulistiwa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hasrat kerjasama itu dibangkitkan oleh Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov ketika mengadakan kunjungan hormat kepadanya minggu lepas.
“Saya memaklumkan bahawa kami (Sarawak) memerlukan lebih ramai jurutera dan bersedia meneroka kerjasama bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tambahan Gurdwara Sahib Kuching di sini hari ini.
Abang Johari berkata dengan tumpuan negara luar terhadap Sarawak yang semakin meningkat, negeri berkenaan perlu memanfaatkan peluang itu menerusi pelaksanaan dasar yang efektif serta perancangan yang jelas.
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Rusia menyatakan kesediaan memperincikan kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai sektor merangkumi aeroangkasa, tenaga, pertanian, pembinaan kapal dan pendidikan. – Bernama





