SIMANGGANG, 26 November: Sarawak berjaya mencapai status wilayah berpendapatan tinggi sejak 2022, sekali gus merealisasikan sasaran berkenaan lapan tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar pembangunan serta kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menerajui transformasi ekonomi negeri.
Menurutnya, sejak Abang Johari mengambil alih kepimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebanyak 139 inisiatif telah dilaksanakan dengan memberikan impak besar terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan hasil pendapatan Sarawak daripada RM5.6 bilion pada 2016 kepada unjuran RM15.01 bilion pada 2027.
“Selain itu, banyak yang telah kita capai semenjak Premier Abang Johari memegang pucuk pimpinan kerajaan GPS.
“Beliau melaksanakan 139 inisiatif yang memberi hasil cukup mengagumkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 2 yang disempurnakan oleh Abang Johari, hari ini.
Uggah turut menyenaraikan beberapa pencapaian strategik termasuk pemilikan kepentingan Sarawak dalam Affin Bank, penubuhan Air Borneo serta pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguasaan negeri terhadap aset ekonomi penting.
Katanya, penubuhan Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak (SSWFF) juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam membina kekayaan untuk generasi akan datang.
Dana berkenaan kini mencatatkan aset di bawah pengurusan berjumlah RM9.01 bilion berbanding pelaburan permulaan RM8 bilion.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak kini semakin diiktiraf sebagai kuasa ekonomi dalam negara dan turut digelar sebagai ‘Bateri ASEAN’ susulan potensi besar negeri dalam sektor tenaga serta pembangunan ekonomi.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) dan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sebagai antara inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Abang Johari, kerajaan negeri terus memberikan keutamaan kepada pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang selari dengan matlamat PCDS 2030, merangkumi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Inilah keberanian dasar dan komitmen pelaksanaan yang membezakan Sarawak hari ini.
“Kita tidak menunggu pembangunan datang kepada kita. Kita merancang, melaksanakannya dan hari ini, kita menuai hasilnya,” katanya.
Uggah berkata, kepimpinan yang berwawasan bukan sekadar membina kekuatan ekonomi, sebaliknya turut memastikan masa depan yang lebih inklusif dan seimbang untuk seluruh rakyat Sarawak.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus mengekalkan perpaduan serta memberikan sokongan kepada GPS dan kepimpinan Abang Johari bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri.
“Jangan biarkan orang lain menentukan masa depan Sarawak. Kitalah yang akan menjaganya.
“Marilah kita berdiri teguh di belakang kepimpinan yang jelas membawa hasil kepada wilayah ini. Bersatu dalam perjuangan, teguh mempertahankan hak dan yakin membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau menegaskan kesatuan rakyat merupakan kekuatan utama dalam mempertahankan hak Sarawak serta memastikan negeri ini terus bergerak maju sebagai wilayah yang berdaya saing dan makmur.
Oleh Adi Safarman




