SIMANGGANG, 26 November: Kerajaan Sarawak merancang membangunkan kawasan tanaman padi seluas kira-kira 2,000 hektar dengan menggunakan varieti serta kaedah penanaman baharu bagi meningkatkan pengeluaran beras dan memperkukuh jaminan makanan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan sekitar Lingga, Simanggang hingga Sebuyau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian produktif, khususnya dalam usaha memperluas pengeluaran makanan tempatan.
Menurut beliau, perancangan pembangunan tanaman padi itu turut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk meningkatkan pendapatan menerusi kegiatan pertanian yang lebih moden dan berdaya maju.
“Kita sudah mengambil kira kira-kira 2,000 hektar untuk dibangunkan dengan padi baharu. Dengan ada perancangan sebegini, pendapatan rakyat juga boleh bertambah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 2 di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, pembangunan sektor pertanian perlu bergerak seiring dengan pembinaan infrastruktur bagi memastikan kawasan pengeluaran makanan mempunyai akses pengangkutan yang lebih baik untuk membawa hasil ke pasaran.
Katanya, penggunaan teknologi moden termasuk dron bagi kerja pembajaan dan meningkatkan kesuburan tanah juga akan membantu mempertingkat kecekapan serta produktiviti sektor pertanian.
Selain tanaman padi, kawasan berkenaan turut mempunyai potensi untuk mengembangkan pengeluaran komoditi lain seperti jagung, nanas dan pisang.

Beliau berkata, kewujudan Jambatan Batang Lupar 2 bukan sahaja memendekkan perjalanan dan memperkukuh hubungan antara kawasan, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi setempat.
Malah, jambatan berkenaan turut memberikan manfaat tidak dijangka kepada sektor perikanan apabila struktur tiangnya berpotensi menjadi habitat hidupan akuatik.
“Rupa-rupanya tiang jambatan menghasilkan makanan untuk ikan. Sebab itulah jumlah ikan terubok kita bertambah kerana ikan mempunyai tempat untuk hidup dan mendapatkan makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan pembangunan infrastruktur negeri tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan jalan raya dan jambatan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi penyediaan bekalan air bersih serta elektrik kepada penduduk luar bandar.
Menurutnya, kemudahan asas berkenaan menjadi keperluan penting untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi, khususnya di kawasan pedalaman.
Kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada penyediaan bekalan elektrik melalui penggunaan teknologi solar di kawasan rumah panjang, termasuk sistem bateri bagi membolehkan tenaga disimpan dan digunakan secara berterusan.
Katanya, kemudahan elektrik yang stabil bukan sahaja meningkatkan keselesaan kehidupan penduduk, malah membolehkan anak-anak belajar pada waktu malam dalam persekitaran yang lebih baik.
Justeru, pembangunan kawasan tanaman padi seluas 2,000 hektar itu me.psrlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk menghubungkan pembangunan infrastruktur dengan pengukuhan sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan dan pendapatan rakyat.
Dengan sokongan jaringan perhubungan yang semakin baik menerusi Jambatan Batang Lupar 2, kawasan Lingga, Simanggang dan Sebuyau berpotensi muncul sebagai antara kawasan penting dalam menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan serta pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Oleh Adi Safarman



