PETRA JAYA, 26 November: Pengalaman selama 21 tahun berada di lapangan bersama penduduk menjadi sandaran utama Tan Sri William Mawan Ikom untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Pakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Mawan, 77, yang merupakan calon paling senior dalam senarai Gabungan Parti Sarawak (GPS) kali ini, bakal bertanding buat kali kelapan dengan membawa pendekatan mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka secara langsung.
Beliau berkata, tumpuannya sepanjang lima tahun lalu adalah untuk terus bersama penduduk, mendengar permasalahan mereka dan memastikan kemudahan serta peruntukan kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Sejak lima tahun lalu, saya lebih banyak berada di lapangan, bertemu dengan penduduk. Kalau kita tidak bergaul dan bersama mereka, kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada Calon GPS bagi PRN Sarawak Ke-13 di sini, hari ini.
Mawan berkata, pendekatan turun padang itu akan diteruskan sekiranya diberi mandat baharu, kerana penyelesaian terhadap keperluan penduduk bukan terletak pada wakil rakyat semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kerajaan.
Mengulas keyakinannya menghadapi PRN kali ini, beliau berkata pengalaman selama 21 tahun berkhidmat di Pakan memberi pemahaman mendalam mengenai keadaan serta keperluan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Saya sangat yakin kerana sudah 21 tahun berada di lapangan. Selebihnya, saya tidak tahu dan tidak boleh membuat andaian,” katanya.
Bagi perancangan lima tahun akan datang, Mawan berkata beliau mahu meneruskan projek pembangunan yang telah dimulakan, khususnya memperkukuh infrastruktur, meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar dan membantu penduduk membangunkan aset tanah masing-masing.
Menurutnya, penyediaan jalan kebun menjadi antara keutamaan bagi membolehkan penduduk mengakses tanah pertanian dan mengembangkan kegiatan ekonomi, terutama susulan perubahan corak tanaman daripada lada, koko dan getah kepada kelapa sawit.
Katanya, kemudahan jalan yang lebih baik akan membolehkan penduduk memanfaatkan tanah yang dimiliki sebagai sumber pendapatan, dengan sokongan infrastruktur dan dasar kerajaan.
Selain itu, peruntukan melalui program pembangunan luar bandar, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) akan terus dimanfaatkan untuk meningkatkan kemudahan asas dan persekitaran kehidupan penduduk, termasuk rumah panjang serta sistem perparitan.
Mengulas kemungkinan berdepan pencabar, Mawan berkata beliau tidak dapat menjangkakan jumlah calon yang akan bertanding, namun tidak menolak kemungkinan satu atau dua pihak tampil mencabar kerusi berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, fokusnya kekal kepada usaha mendekati penduduk dan meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang demi meningkatkan kehidupan masyarakat Pakan.
William Mawan Ikom mula menceburi politik pada 1983 apabila bertanding di kerusi DUN Pakan atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Beliau tewas dalam dua percubaan awal pada PRN 1983 dan 1987 sebelum berjaya memenangi kerusi itu buat kali pertama pada 1991.
Selepas kemenangan tersebut, Mawan terus mempertahankan Pakan dalam PRN 1996, 2001, 2006, 2011, 2016 dan 2021.
Sepanjang perjalanan politiknya, beliau turut mengasaskan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 2004, sebelum meninggalkan parti itu pada 2013 untuk menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Beliau menyertai PBB pada 2016 dan kini mewakili GPS.
Mawan juga pernah bertanding di kerusi Parlimen Julau pada 1990 sebagai calon Bebas, sebelum memenangi kerusi Parlimen Saratok pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Oleh Afiq Sallehi




