Sarawak berkemungkinan alami jerebu berterusan – NREB

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Sarawak berkemungkinan mengalami jerebu berterusan pada beberapa hari yang akan datang, sekiranya pembakaran biojisim semakin meningkat di luar persempadanan Sarawak, menurut Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) negeri.

NREB dalam kenyataan hari ini memaklumkan rantau negara akan menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya memandangkan Malaysia sedang berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangkakan berakhir pada September.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di wilayah Sarawak,” menurut kenyataan itu hari ini.

NREB memaklumkan berdasarkan laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 1 Ogos hingga semalam, sebanyak 148 titik panas telah dikesan di Sarawak dan sejumlah 7,286 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia.

“Asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak. Keadaan titik panas dan jerebu berkemungkinan terus meningkat di kawasan mudah terbakar dan mengalami keadaan kering berpanjangan dengan risiko berlakunya jerebu rentas sempadan,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, kualiti udara di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) sejak 1 Ogos lepas.

Setakat pukul 8.00 pagi tadi, sembilan kawasan berada dalam kategori tidak sihat (IPU 101-200), dengan Serian dan Lubok Antu mencatat bacaan IPU tertinggi, iaitu 185, diikuti Kuching, Lundu, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, dan Tebedu.

“Menurut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sebaik sahaja IPU mencecah 200,” menurut kenyataan itu. – Bernama