Ketua La Liga berdepan tindakan disiplin selepas samakan Real Madrid dengan Goebbels

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN La Liga, Javier Tebas, berdepan kemungkinan tindakan disiplin selepas membandingkan kaedah komunikasi Real Madrid dengan teknik propaganda bekas menteri propaganda Nazi, Joseph Goebbels.

BARCELONA, Sepanyol: Presiden La Liga, Javier Tebas, berkemungkinan berdepan tindakan disiplin selepas membandingkan kaedah komunikasi Real Madrid dengan pendekatan propaganda menteri propaganda Nazi, Joseph Goebbels, susulan permintaan Majlis Sukan Kebangsaan Sepanyol (CSD) hari ini supaya tribunal sukan negara itu menilai sama ada beliau melakukan kesalahan.

Dalam satu kenyataan, CSD berkata pihaknya telah merujuk perkara itu kepada Mahkamah Pentadbiran Sukan (TAD) negara berkenaan selepas Tebas membuat perbandingan tersebut menerusi hantaran di platform media sosial X pada 16 Oktober.

TAD perlu menentukan sama ada kenyataan Tebas boleh dikategorikan sebagai kesalahan serius di bawah Undang-Undang Sukan Sepanyol 1990, yang merangkumi “perbuatan terbuka dan diketahui umum yang menjejaskan maruah atau kesopanan sukan”.

CSD berkata, “nilai yang menjadikan sukan sebagai ruang untuk saling menghormati, hidup bersama dan semangat kesukanan perlu dipelihara”.

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, sebelum ini menggesa Tebas, 64, meletakkan jawatan selepas beliau mengkritik usaha kelab itu untuk menjejaskan kredibiliti pengadilan pengadil di Sepanyol.

Tebas berkata, saluran televisyen milik Real Madrid sering membayangkan bahawa pengadil cuba menghalang kelab itu daripada meraih kemenangan.

Ketua liga Sepanyol yang lantang bersuara itu berkata, taktik berkenaan “mengingatkan kepada mekanisme propaganda yang digunakan oleh Goebbels”.

Tebas kemudian menjelaskan bahawa beliau membuat perbandingan dengan “teknik propaganda tersebut”, bukannya ideologi Nazi.

Pada Khamis, ketua La Liga itu sekali lagi menegaskan menerusi hantaran di X bahawa kenyataannya “membezakan antara teknik propaganda dengan ideologi”.

Tebas turut mempersoalkan mengapa tindakan Madrid yang “menuduh sistem pengadilan sebagai korup” tidak dianggap menjejaskan maruah dan kesopanan sukan.

“Tidakkah tindakan itu menjejaskan kelab, pengadil dan jutaan peminat?” tulis Tebas.

“Atau adakah nilai-nilai itu hanya wajar dipertahankan secara terbuka apabila seseorang membalas serangan sedemikian?”

Real Madrid kerap mengkritik pengadil menerusi saluran televisyen mereka hampir setiap minggu. Tahun lalu, kelab itu turut mendakwa sistem pengadilan di Sepanyol telah “diatur” dan “hilang kredibiliti sepenuhnya”. – AFP